PDRM tingkat kawalan keselamatan kawasan sensitif, tumpuan awam - KPN

Bernama
Disember 21, 2016 20:24 MYT
Polis tingkatkan lagi kawalan keselamatan di kawasan sensitif dan tumpuan awam menjelang sambutan Krismas dan Tahun Baharu 2017. - Gambar fail
Polis Diraja Malaysia (PDRM) tingkatkan lagi kawalan keselamatan di kawasan sensitif dan tumpuan awam menjelang sambutan Krismas dan Tahun Baharu 2017 susulan siri serangan pengganas di luar negara beberapa hari lepas.
"Kita (PDRM) siap sedia (hadapi sebarang kemungkinan ancaman)" kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.
Beliau berkata demikian ketika ditanya Bernama apa langkah PDRM agar ancaman sama tidak berlaku di negara ini khasnya di tempat sensitif seperti rumah ibadat, kawasan tumpuan pelancong asing dan orang awam.
Semalam Khalid dalam satu kenyataan, berkata tujuh lelaki termasuk empat warga asing yang disyaki terlibat dengan aktiviti keganasan ditahan di beberapa lokasi dalam negara antara 3 Nov hingga 16 Dis lepas.
Beliau berkata kesemua mereka yang berusia antara 20 hingga 35 tahun itu ditahan oleh Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas dalam operasi di sekitar Johor, Sabah, Melaka dan Selangor.
Semalam Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jen Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor turut berkata, pihaknya sentiasa bersedia dan mempunyai kaedah tersendiri dalam menangani masalah serangan pengganas serta tidak akan ambil mudah ancaman itu.
Pada Ahad lalu, dua pelancong Malaysia mengalami kecederaan ringan susulan kejadian tembak-menembak antara pasukan keselamatan Jordan dan sekumpulan lelaki bersenjata di Karak Castle di Bandar Karak, Jordan.
Serangan itu mengorbankan sekurang-kurangnya sembilan orang iaitu seorang wanita Kanada, tiga orang awam dan lima anggota polis.
Pada hari yang sama Duta Rusia ke Turki, Andrey Karlov telah ditembak mati di Ankara, Turki ketika Karlov sedang berucap pada pembukaan pameran seni.
Pada Isnin, 12 orang dilaporkan terkorban dan kira-kira 50 orang cedera dalam insiden rempuhan trak di Christmas Market di Breitscheidplatz Square, Kurfuerstendamm Avenue barat Berlin.-- Bernama
#Ketua Polis Negara #KPN #langkah keselamatan #PDRM #Polis Diraja Malaysia #Tan Sri Khalid Abu Bakar
;