PDRM tidak setuju penggunaan ganja untuk tujuan perubatan

Bernama
Disember 29, 2018 06:48 MYT
PDRM meningkatkan kawalan di seluruh sempadan negara agar tidak berlaku kegiatan penyeludupan ganja dan pelbagai jenis dadah lain. REUTERS/Gambar hiasan
Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak bersetuju dengan langkah meluluskan penggunaan produk ganja untuk perubatan seperti yang dilaksanakan di Thailand.
Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata perkara sedemikian akan menimbulkan pelbagai masalah di negara ini.
Beliau berkata jika ia berlaku di negara ini, ia akan merumitkan lagi masalah dengan peningkatan penagihan dan pengedaran dadah.
"Kami juga khuatir dengan kemungkinan lambakan ganja yang akan diseludup masuk ke negara ini dan PDRM tidak boleh mencampuri keputusan yang dibuat oleh kerajaan Thailand.
"Oleh yang demikian, PDRM berusaha meningkatkan kawalan di seluruh sempadan negara agar tidak berlaku kegiatan penyeludupan ganja termasuk pelbagai jenis dadah lain," katanya pada sidang media selepas hadir majlis raikan cinta raja sehari warga PDRM dengan kerjasama Bank Muamalat di Pusat Latihan Polis, di sini, pada Sabtu.
BACA: Thailand izinkan penggunaan ganja untuk perubatan, ibarat 'hadiah' tahun baharu
Baru-baru ini, kerajaan Thailand meluluskan pindaan terhadap undang-undang narkotik negara itu yang menyaksikan penggunaan ganja dan ketum untuk tujuan perubatan tidak lagi menjadi satu kesalahan dari segi undang-undang.
-- BERNAMA
#Dadah #ganja #Ketua Polis Negara #Mohamad Fuzi Harun #narkotik #PDRM #perubatan #seludup #Thailand #undang-undang
;