PDRM tidak sekat agensi penguat kuasa siasat pegawai, anggota terlibat rasuah - KPN
Bernama
Ogos 29, 2024 15:31 MYT
Ogos 29, 2024 15:31 MYT
KOTA BHARU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak menyekat mana-mana agensi terutamanya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat pegawai dan anggota polis yang terlibat dengan penyelewengan, salah guna kuasa dan rasuah.
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata PDRM tidak akan berkompromi sekiranya ada anggota dan pegawainya terlibat rasuah.
Beliau berkata hubungan antara PDRM dan SPRM sangat baik selain pihaknya akan memberi kerjasama dan membantu segala keperluan SPRM dalam membuat siasatan terutamanya yang terlibat dengan rasuah.
"Di PDRM, kita telah menyatakan bahawa anggota dan pegawai mesti mempunyai integriti. Oleh itu, kesemua pegawai dan anggota mesti mematuhi semua undang-undang yang ada di Malaysia dan segala peraturan pemerintah tetap Ketua Polis Negara berkenaan displin dan juga tatakerja.
"Saya mengingatkan kepada semua anggota dan pegawai termasuk kepada diri saya sendiri supaya bertunjangkan kepada integriti dan tatakerja yang baik," katanya dalam sidang media selepas menghadiri majlis serah terima tugas jawatan Ketua Polis Kelantan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.
Razarudin berkata ini termasuk pegawai dan anggota polis yang bertugas menjaga sempadan negara supaya memantau jika ada penyelewengan barang bersubsidi juga turut dipantau.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai seorang pengarah agensi penguatkuasaan di Kuching, Sarawak kerana disyaki menerima rasuah daripada sindiket penyeludupan minyak diesel bersubsidi di Sibu, Sarawak.
Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai penggunaan kamera badan untuk penugasan anggota polis di lapangan, Razarudin berkata PDRM dijangka menggunakan gajet berkenaan pada akhir tahun ini.
PDRM telah melakukan projek rintis menggunakan alat berkenaan pada Jun dan Julai lepas di IPK Selangor dan IPK Kuala Lumpur serta beberapa daerah.
Beliau berkata ketika projek rintis menggunakan kamera badan itu dilaksanakan beberapa keperluan telah dilihat termasuk prosedur operasi standard (SOP) untuk melancarkan kamera badan berkenaan.
"Insya-Allah dalam tahun ini iaitu akhir tahun kita akan gunakannya," katanya.
Media sebelum ini melaporkan, PDRM dijangka mula menerima 7,648 unit kamera badan secara berperingkat mulai September tahun ini hingga Feb 2025.
-- BERNAMA