PDRM terus perkasa integriti

Akhbar Satar
April 16, 2022 13:31 MYT
AKHBAR SATAR: Integriti sukar diajar. Ia terpahat dalam jiwa sama ada dimiliki seseorang atau tidak. Ada berpendapat doktrin agama juga tidak berupaya mengubah perasuah. -Gambar fail
TUGAS dan peranan Polis Diraja Malaysia (PDRM) cukup luas.
Dalam istilah mudah, tugas warga PDRM itu bermula daripada daftar kelahiran (yang suatu ketika dahulu dikendalikan oleh kami) sehinggalah daftar kematian.
Malah, urusan menggali semula kubur bagi meneruskan penyiasatan juga membabitkan PDRM.
Malangnya, masyarakat kita agak susah untuk mengucapkan terima kasih kepada PDRM.
Polis cenderung terus ‘dihukum’ apabila membuat sesuatu kesilapan atau mengambil tindakan yang tidak menyebelahi kepentingan mereka.
Yang peliknya ‘kejayaan’ polis diukur dari sudut kesilapan dilakukan ketika menjalankan tugas.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, melangkah ke-215 tahun usia penubuhan PDRM, akan terus perkasa integriti dan pertahan kedaulatan undang-undang.
Hasrat PDRM untuk memperkenalkan program kembali ke pusat latihan (back to training centre) untuk pegawai dan anggota bermasalah khususnya terbabit dalam isu integriti serta moral sewajarnya diberikan pujian.
Ini kerana ia bertujuan memperkasa pegawai dan anggotanya melalui penerapan nilai murni bagi memastikan mereka tidak terbabit dalam isu integriti, selain memberi bimbingan serta sokongan kepada mereka.
Ia juga mampu memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat dan menjaga imej PDRM, sekali gus memberi peluang kedua kepada mereka tersalah langkah untuk memperbaiki diri sendiri.
Dalam organisasi besar seperti PDRM, sudah tentu terdapat segelintir pegawai dan anggota bermasalah dari segi integriti serta moral.
Namun, semakin ramai jumlah anggota, kebarangkalian menimbulkan masalah tetap ada. Apa dikesalkan, masyarakat tetap menganggap gejala ini seperti sinonim dengan pasukan polis.
Ia tidak adil kepada pegawai dan anggota yang bekerja keras, mengekalkan integriti demi kesejahteraan dan keselamatan negara.
Mengikut mantan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, hanya satu peratus daripada kira-kira 100,000 anggota PDRM terbabit gejala rasuah.
Maklumat ini disahkan Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Azri Ahmad, yang gigih memperjuangkan isu integriti PDRM, bahawa 1,571 pegawai dan anggota polis dikenakan tindakan tatatertib sepanjang 2021.
Antara kesalahan integriti dilakukan adalah tidak mengisytiharkan harta, mengunjungi pusat hiburan, berkahwin tanpa kebenaran, enggan menerima laporan dan meminta imbuhan.
Selain itu, terdapat juga 23 pegawai dan anggota polis direkodkan terbabit kesalahan jenayah, rasuah (18), dadah (84), dan syariah (48).
Datuk Seri Azman Ujang, Ahli Lembaga Penasihat SPRM berpendapat bahawa usaha melatih semula pegawai dan anggota bermasalah itu nawaitunya baik tetapi persoalannya bagaimana ia boleh dilakukan agar lebih berkesan dan efektif?
Ramai berpendapat amalan seperti biasa, mereka akan diajar mengenai pelbagai teori dan maklumat ilmiah bagaimana mengekalkan integriti dalam pasukan polis.
Oleh itu, fokus program ini perlu menyemaikan aspek pendekatan agama the fear of God dan pendidikan moral bagi mempertingkat ketahanan serta jati diri supaya menjauhi amalan tidak bermoral dan berintegriti khususnya rasuah bagi jangka masa yang panjang.
Strategi ini sesuai di Malaysia yang mana majoriti rakyatnya beragama Islam.
Pandangan Tan Sri Ismail Ibrahim, mantan Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia bahawa sebenarnya hal ini merupakan nilai universal.
Integriti sukar diajar. Ia terpahat dalam jiwa sama ada dimiliki seseorang atau tidak. Ada berpendapat doktrin agama juga tidak berupaya mengubah perasuah.
Pembudayaan integriti diamalkan dalam diri sejak kecil hasil good parenting (termasuk ibu bapa tunjuk contoh yang baik) dan sistem persekolahan baik yang boleh membantu membentuk akhlak dan peribadi yang baik serta bagi membentuk pembangunan modal insan masyarakat bencikan rasuah.
Ini disahkan teori jenayah (nature vs nurture) bahawa faktor persekitaran lebih mempengaruhi tingkah laku atau akhlak perasuah daripada keturunan.
Faktor cara dibesarkan, sistem pendidikan yang boleh tingkatkan integriti dan contoh yang baik.
Bekas Duta Malaysia Datuk Yahaya Abd Jabar berpendapat bahawa di kebanyakan negara maju yang tahap integriti sangat tinggi dan rasuahnya rendah, mereka tidak menggunakan cara “takut Tuhan” dalam menangani isu integriti dan rasuah.
Mereka memberi keutamaan dan tumpuan kepada sistem pendidikan dan keterbukaan pentadbiran yang membawa impak baik sedangkan kita sudah guna lama sikap takutkan Tuhan tetapi tidak berjaya sangat seperti yang dikehendaki.
Indeks Persepsi Rasuah 2021 yang mana Finland dan Denmark adalah antara negara yang paling kurang rasuah.
Bagi negara Islam UAE mendapat tempat ke 24 manakala Malaysia 62 daripada 180 negara. Sudan, Somalia dan Syria berada di kedudukan tercorot.
Apa apapun kredibiliti, pengalaman dan kepakaran tenaga pengajar juga perlu diberi keutamaan supaya ia lebih memberi impak positif kepada peserta kursus.
Untuk kelestarian, apabila tamatnya kursus pegawai atasan juga hendaklah menunjukkan contoh baik dan menjalankan tanggungjawab pengawasan kepada pegawai bawahan. Kepemimpinan melalui teladan patut ditonjolkan dan bukan sekadar cakap kosong.
Sifat amanah, telus, bertanggungjawab dan berkhidmat demi kepentingan awam menjadi inti pati kepada istilah integriti serta etika yang patut ada kepada pegawai dan anggota polis.
Tingginya budi pekerti dan bergerak berlandaskan prinsip berfokuskan integriti dapat tingkatkan prestasi, produktiviti serta mampu meyakinkan rakyat terhadap kewibawaannya dalam proses penyampaian perkhidmatan.
Dengan kata lain, integriti dan etika dalam pekerjaan serta organisasi bukan sekadar pembabitan individu untuk menyediakan keperluan diri sahaja, sebaliknya membabitkan tindakan baik dilakukan dalam kerja dan semua ini mempunyai kaitan rapat dengan ajaran agama dan tanggungjawab sebagai manusia.
Adalah baik jika PDRM melaksanakan tapisan keutuhan dan keselamatan rapi terutama semasa pengambilan pegawai pegawai kanan dan untuk mengisi jawatan berisiko tinggi.
Di Amerika Syarikat (AS), ujian poligraf dilaksanakan dalam pengambilan pegawai polis, tentera, Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dan Pentadbiran Penguatkuasaan Dadah (DEA).
Amalan itu turut dibuat di Singapura membabitkan polis, tentera, Biro Penyiasatan Amalan Rasuah, Kementerian Sumber Manusia serta pejabat pendakwa raya.
Untuk kelestarian mengekalkan integriti, mereka menjalankan ujian poligraf secara rawak dan impaknya sangat memberangsangkan.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali sendiri pernah menyatakan apabila nilai integriti rapuh, ditambah dengan ruang dan peluang mendapat habuan lumayan daripada pihak berkaitan, maka kecenderungan untuk terjerumus dalam rasuah adalah besar.
Diharapkan latihan semula pegawai dan anggota dapat memperkasa integriti PDRM, sekali gus meningkatkan imej, prestasi serta kepercayaan orang ramai.
Usaha bersungguh dan baik terutama dari aspek pencegahan patut diberi pujian serta sokongan sepenuhnya.

*Datuk Sri Akhbar Satar ialah Ahli Lembaga Institut Integriti Malaysia (IIM)
** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
#Akhbar Satar #PDRM #integriti #Rasuah
;