PDRM tambah anggota, SJR bermula esok

Ridauddin Daud
Mei 31, 2021 18:09 MYT
"Dalam setiap pemeriksaan SJR ini, polis akan memeriksa setiap kenderaan dengan lebih teliti dokumen yang dikemukakan, temu janji yang dikatakan perlu dihadiri oleh orang ramai," kata Acryl Sani. - Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menambah jumlah sekatan jalan raya (SJR) di seluruh Malaysia sebaik Sekatan Pergerakan Penuh dikuatkuasakan bermula 1 Jun 2021.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, sebanyak 800 SJR akan digerakkan di seluruh negara dengan dua konsep, SJR Tetap dan SJR Bergerak.
Tegasnya, PDRM juga akan menambah bilangan anggota kepada 55,000 orang, menjadikan jumlah keseluruhan anggota termasuk agensi lain berjumlah 70,000 anggota.
“Dalam setiap pemeriksaan SJR ini, polis akan memeriksa setiap kenderaan dengan lebih teliti dokumen yang dikemukakan, janji temu yang dikatakan perlu dihadiri oleh orang ramai.
“Justeru, kita tak nafikan akan berlaku kesesakan di SJR dan juga di lokasi-lokasi tertentu, ini tidak dapat dielakkan.
“Justeru orang ramai jika mereka tidak ada keperluan mendesak untuk bergerak, seboleh-bolehnya tangguhkanlah pergerakan tersebut, bagi peluang kepada mereka yang perlu bergerak atas sebab perkhidmatan perlu utuk melaksanakan tugas-tugas mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini pada Isnin.
Pada masa sama, beliau juga menasihatkan orang awam supaya mengatur sebaiknya jadual pergerakan mereka.
“Berikan kerjasama sepenuhnya kepada petugas SJR semasa pemeriksaan dilaksanakan,” ujarnya.
#PDRM #polis #Ketua Polis Negara #Acryl Sani #SJR #Sekatan Jalan Raya #Bukit Aman #Polis Diraja Malaysia #sekatan pergerakan penuh #PKP #PKP 3 0 #perkhidmatan perlu
;