PDRM tak gentar, terus tingkat penguatkuasaan di Sungai Golok
Bernama
Disember 21, 2024 20:40 MYT
Disember 21, 2024 20:40 MYT
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak gentar dan tetap meneruskan penguatkuasaan larangan rentas sempadan menggunakan pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok, Kelantan meskipun terdapat ancaman pihak tertentu yang tidak berpuas hati dengan keputusan itu.
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata tindakan yang dilakukan adalah berlandaskan undang-undang dan menjadi tugas pihaknya untuk memastikan rakyat mematuhi perkara itu.
"Polis tidak gentar dengan mana-mana ancaman. Kita sentiasa berwaspada dan bersiap siaga. Kita sedang menganalisis maklumat risikan yang diperoleh, bagaimanapun ancaman sebegini tidak perlu digentarkan," katanya semasa dihubungi di sini hari ini.
Razarudin berkata peringatan juga dikeluarkan kepada pegawai dan anggota polis bertugas di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand supaya mereka terus berwaspada bagi memastikan keselamatan di situ kekal terjamin.
Semalam, Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat mengesahkan pihaknya menerima pelbagai ancaman susulan penguatkuasaan larangan menggunakan laluan pangkalan haram untuk menyeberangi sempadan Malaysia-Thailand, bermula 1 Dis lepas.
Pada November lepas, Mohd Yusoff berkata polis menggunakan Seksyen 5 (2) Akta Imigresen 1959/63 untuk menahan rakyat Malaysia yang menggunakan laluan yang tidak diwartakan bagi keluar dan masuk ke negara ini dari Thailand.
Pada 19 Nov, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata pintu masuk rasmi di sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan hanya di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang, Bukit Bunga dan Pengkalan Kubor.
-- BERNAMA