PDRM tahan 219 individu yang dikaitkan dengan keganasan sejak 2001

Astro Awani
November 2, 2012 01:49 MYT
Polis Diraja Malaysia, PDRM telah menangkap 219 individu yang dikaitkan dengan kaganasan di dalam negara sejak tahun 2001 dan hampir separuh daripadanya merupakan elemen dari luar negara.
Dalam temubual dengan Astro Awani, pengarah pasukan petugas khas PDRM, Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun memaklumkan, setakat ini PDRM turut berjaya mengekang kemasukan kumpulan ini ke dalam negara.
"Sejak 2001 sampai masa saya bercakap ni, kita telah menangkap 219 elemen pengganas. Bukan sahaja daripada kalangan elemen tempatan tapi hampir separuh daripadanya luar negara. Ada yang melibatkan elemen berteraskan Islam dan ada juga bukan Islam,” kata beliau.
Mohamad Fuzi juga mendedahkan rangkaian pelampau antarabangsa sering menjadikan pelajar tempatan sebagai orang hubungan.
"Ia mempunyai rangkaian yang tetap. Mempunyai pemberi maklumat sama ada di tempat terbuka, bandar dan luar bandar. Ramai juga dikalangan mereka ini adalah pelajar. Kerana mereka sudah mempunyai infrastruktur hubungan. Sebab tu kita mesti sentiasa berwaspada." tambah Mohamad Fuzi.
PDRM antara lain berusaha memastikan Malaysia tidak dijadikan tempat perlindungan bagi anggota pelampau antarabangsa.
Antara usaha lain PDRM adalah mengukuhkan kerjasama risikan dan maklumat dengan agensi keselamatan pelbagai negara bagi mengekang gerakan pelampau.
#Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun #PDRM #Pelampau antarabangsa