PDRM siasat video hina agama Islam
Bernama
Mac 6, 2025 21:00 MYT
Mac 6, 2025 21:00 MYT
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata pihaknya juga sedang mengenal pasti individu yang memuat naik video berdurasi selama lebih tiga minit itu. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Polis sedang menyiasat sebuah video yang tular di laman sosial sejak semalam yang didakwa menghina dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap agama Islam.
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata pihaknya juga sedang mengenal pasti individu yang memuat naik video berdurasi selama lebih tiga minit itu.
Beliau berkata laporan berhubung perkara itu telah dibuat oleh seorang individu di Balai Polis Manchis, Bentong, Pahang, petang semalam.
"Berdasarkan laporan, video itu memaparkan beberapa individu mengeluarkan kata-kata kesat dan menghina umat agama Islam dan ia telah dimuat naik semalam, dipercayai dihasilkan ekoran isu melibatkan penyampai radio yang didakwa membuat penghinaan terhadap agama Hindu.
"Bagaimanapun video itu telah dipadam selepas menerima kecaman orang ramai. Siasatan rapi sedang dijalankan bagi mengenal pasti individu terlibat dan tindakan tegas akan diambil mengikut undang-undang sedia ada," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
KPN-HINA 2 (AKHIR) KUALA LUMPUR
Razarudin berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan, kerana perbuatan yang boleh menyebabkan ketidakharmonian antara kaum dan agama serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berhubung penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan jaringan.
Beliau berkata polis memandang serius perbuatan menghina mana-mana agama di negara ini yang boleh menjejaskan keharmonian dan ketenteraman awam.
"Polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas dengan menggunakan segala undang-undang sedia ada, tanpa mengira siapa juga yang terlibat dalam memainkan isu 3R.
"Justeru orang ramai dinasihatkan agar tidak menyentuh isu-isu berkenaan yang boleh menimbulkan suasana tidak harmoni, perpecahan dan ketegangan sehingga mengancam keselamatan negara kita yang terdiri daripada pelbagai agama dan bangsa," katanya.
-- BERNAMA