PDRM siasat kaitan rakyat Malaysia ditahan di Thailand dengan sindiket penipuan pelaburan Nicshare, CommonApps

Umavathi Ramayah
Disember 20, 2024 15:30 MYT
Razarudin berkata, setakat ini pihaknya menerima 26 laporan mengaitkan dua-dua skim itu dengan nilai kerugian hampir RM8.6 juta. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Polis sedang menyiasat kaitan seorang rakyat Malaysia yang ditahan di Thailand Isnin lalu dengan sindiket penipuan pelaburan Nicshare dan CommonApps.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, setakat ini pihaknya menerima 26 laporan mengaitkan dua-dua skim itu dengan nilai kerugian hampir RM8.6 juta.
"Kita sedang menyiasat kedua-dua skim pelaburan ini. Setakat ini, kita terima 24 laporan berkait pelaburan Nicshare yang melibatkan kerugian lebih RM8.2 juta dan dua laporan berhubung CommonApps melibatkan kerugian lebih RM340,000.
"Daripada laporan ini ada beberapa subjek dan entiti berkaitan yang telah dituduh di mahkamah," katanya dalam kenyataan di sini, pada Jumaat.
Razarudin memberitahu, siasatan itu dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun dan sebatan, dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.
Menurutnya, siasatan juga dijalankan mengikut kta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.
Akta itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Memetik media Thailand pada Khamis, polis Thailand yakin berjaya membanteras sindiket penipuan utama yang mendalangi kegiatan pengubahan wang haram lebih 5 bilion baht (RM652.8 juta) melalui rangkaian transaksi palsu susulan penahanan seorang rakyat Malaysia yang juga ketua sindiket terbabit.
Selain lelaki itu, pihaknya turut menahan isterinya yang juga warga Thailand, masing-masing suspek utama yang dikaitkan dengan skim pengubahan wang haram berskala besar itu.
Komander Bahagian Pencegahan Jenayah Ekonomi (ECD) di bawah Biro Siasatan Pusat (CIB), Pol Mejar Jeneral Puttidej Bunkrapue berkata lelaki Malaysia berusia 38 tahun itu dalam senarai dikehendaki itu ditahan di Pusat Pemeriksaan Imigresen Sadao di wilayah Songkhla ketika memasuki Thailand pada 16 Disember lalu.
#CommonApps #Nicshare #Thailand #rakyat Malaysia
;