PDRM siasat dakwaan ingkar SOP di Pulapol KL
Astro Awani
Jun 24, 2021 23:53 MYT
Jun 24, 2021 23:53 MYT
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan berhubung dakwaan ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur.
Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Datuk Zaini Jass berkata, dakwaan yang tersebar di media sosial itu turut mengandungi beberapa tohmahan terhadap pengurusan Pulapol Kuala Lumpur.
"Jabatan Pengurusan Bukit Aman memandang serius dakwaan dan tohmahan tersebut.
"Siasatan telah dimulakan dan tindakan tegas akan diambil sekiranya terdapat pelanggaran sebarang SOP atau salah laku seperti yang didakwa," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Dalam dakwaan yang tular itu, seorang individu antara lain mendakwa terdapat beberapa majlis yang berlangsung di Pulapol Kuala Lumpur dengan dihadiri oleh pelatih serta pegawai.
Hantaran terbabit turut melampirkan beberapa keping gambar yang didakwa membuktikan kejadian ketidakpatuhan SOP berlaku.
#PULAPOL
#tidak patuh sop
#ketidakpatuhan sop
#Tular
#viral
#Bukit Aman
#majlis
#pelatih
#pegawai
#langgar SOP