PDRM selamatkan keluarga Malaysia bekas anggota Daish
Afiezy Azaman
Oktober 25, 2018 17:28 MYT
Oktober 25, 2018 17:28 MYT
Seorang wanita Malaysia dan dua anaknya diselamatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Syria setelah kematian suaminya yang merupakan anggota militan Daish.
Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, wanita yang dikenali sebagai Aishah (bukan nama sebenar), 31, dan dua anaknya berusia 5 dan 2 tahun itu dibawa pulang pada 6 Oktober lalu.
“Proses membawa pulang memakan masa tiga minggu hingga sebulan setelah ahli keluarga wanita ini menghubungi polis untuk mendapatkan pertolongan membawanya pulang setelah kematian suaminya pada 9 Februari lalu.
“Wanita ini mengikuti suaminya ke Syria dan Turki tanpa kerelaan diri dan sedang mengandung anak kedua mereka,” katanya dalam sidang media khas di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism E8, Cawangan Khas Bukit Aman Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.
Mengulas lanjut, Mohamad Fuzi menyatakan kejayaan itu hasil kerjasama Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas PDRM, Kedutaan Malaysia di Turki dan National Intelligence Organization @ Mili Istihbarat Teskilati (MIT) Turki.
Tambah beliau, PDRM memberi jaminan keselamatan kepada tiga sekeluarga bekas anggota Daish itu untuk dibawa pulang dari Syria dan mereka akan melalui proses penilaian serta pemulihan.
Dalam pada itu, beliau berkata, sejak 2013 hingga Oktober tahun ini seramai 102 rakyat negara ini telah pergi ke Syria dan Iraq akibat dipengaruhi ideologi Daish.
“Daripada jumlah itu, 37 telah terkorban dan 11 lagi berjaya dibawa pulang ke tanah air. Terdapat empat lagi rakyat Malaysia telah menghubungi PDRMmenyatakan hasrat mahu kembali ke Malaysia dan operasi ini sedang dijalankan.
“Proses membawa pulang rakyat Malaysia di sana sukar kerana dikepung oleh Militan dan dikawal ketat oleh pihak berkuasa di sana,” jelas beliau.
Mohamad Fuzi berharap agar rakyat Malaysia tidak terpengaruh dengan ideologi Daish yang perjuangannya hanya sia-sia dan berharap warga Malaysia yang berada di Syria buat permohonan untuk kembali ke negara ini.
Beliau turut menyatakan pihaknya akan membantu uruskan dokumen perjalanan melalui pelbagai pihak serta tiket penerbangan rakyat Malaysia yang ingin pulang secara sukarela dari Syria.
“PDRM juga berharap keluarga kepada rakyat Malaysia yang berada di Syria dan Iraq tampil memberi maklumat dan kerjasama kepada polis untuk membawa mereka pulang.
“Boleh hubungi talian 03-2266 3333 atau 2266 3444 Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman bagi perkara itu,” jelas beliau.