PDRM sedang kenal pasti dalang seludup 43 rakyat Malaysia ke Peru

Hilmi Malik
Oktober 10, 2023 13:41 MYT
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain pada sidang media khas di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Polis sedang mengenal pasti dalang utama sindiket Macau Scam yang menyebabkan 43 rakyat Malaysia menjadi mangsa pemerdagangan manusia di Peru.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, PDRM akan merakam keterangan kesemua mangsa yang terlibat untuk mengesan pihak yang merekrut kesemua mangsa berkenaan ke Peru.
“Kita difahamkan mereka ini telah sampai ke Peru pada 29 September lalu sebelum ditahan pihak berkuasa Peru pada 7 Oktober.
“Sekiranya kita sudah kenal pasti suspek, kertas siasatan akan dibuka untuk tentukan orang-orang yang terlibat ini (rekrut) akan ditangkap untuk siasatan PDRM.
“Setakat ini pihak Kementerian Luar dalam usaha untuk membawa pulang kesemua 43 mangsa sebelum polis laksanakan tindakan selanjutnya,” katanya ketika sidang media di Bukit Aman di sini pada Selasa.
Ujarnya lagi, kesemua mangsa itu terdiri daripada 26 wanita dan 17 lelaki yang berusia sehingga 36 tahun.
Dalam pada itu, Razarudin menggesa masyarakat supaya lebih berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan scam pekerjaan di luar negara kerana ramai rakyat Malaysia yang masih menjadi mangsa.
Lebih buruk katanya, ada yang terpaksa berdepan dengan seksaan pihak sindiket ekoran tidak menepati KPI (sasaran) pekerjaan walaupun menerima pekerjaan tidak seperti apa yang dijanjikan.
Baru-baru ini dilaporkan, seramai 43 rakyat Malaysia yang dipercayai menjadi mangsa sindiket Macau Scam berjaya diselamatkan selepas dilarikan ke negara Amerika Selatan, Peru.
Menurut Kementerian Luar, semua mangsa terbabit yang dipercayai menjadi mangsa penyeludupan manusia berjaya diselamatkan pihak polis republik itu dalam satu serbuan di sekitar kota raya Lima yang juga ibu negara republik itu.
#permerdaganan manusia #Razarudin Husain #Peru #sindiket pencarian kerja #Macau Scam
;