PDRM sangkal dakwaan tiada SOP dalam siasatan

Bernama
September 8, 2024 14:00 MYT
PDRM menafikan dakwaan seorang selebriti mengatakan polis gagal melakukan siasatan terhadap 14 laporan yang dibuat sejak dua tahun lepas.
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan dakwaan seorang selebriti mengatakan polis gagal melakukan siasatan terhadap 14 laporan yang dibuat sejak dua tahun lepas.

Ringkasan AI
  • Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan dakwaan seorang selebriti yang mengatakan polis gagal menyiasat 14 laporan yang dibuat sejak dua tahun lepas.
  • Dua kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 409 dan Seksyen 420 Kanun Keseksaan. Siasatan di bawah Seksyen 409 telah selesai dengan keputusan Tiada Tindakan Lanjut (NFA), manakala siasatan di bawah Seksyen 420 masih berjalan.
  • PDRM menyifatkan tuduhan bahawa polis tidak mempunyai prosedur operasi standard (SOP) dalam siasatan sebagai tidak benar dan tidak bertanggungjawab.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata tindakan sewajarnya telah dijalankan dengan dua kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dan Seksyen 420 kanun sama.
Beliau berkata siasatan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan telah selesai dan kes diputuskan Tiada Tindakan Lanjut (NFA) oleh Jabatan Peguam Negara pada Jun lepas, setelah tiada keterangan mencukupi untuk menimbulkan elemen kesalahan pecah amanah dalam kes berkenaan.
"Siasatan kes ini juga telah dirujuk dan disemak semula oleh Peguamcara Negara pada Ogos lepas dan keputusan NFA itu dikekalkan. Pegawai penyiasat juga telah mengemukakan pemberitahuan kepada pengadu berkenaan keputusan siasatan kes berkenaan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Ramli, siasatan kes mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan masih dijalankan dan memberi jaminan ia dilakukan secara adil dan telus bagi memastikan prinsip undang-undang dan keadilan sentiasa dipelihara.
Sementara itu, Ramli berkata tuduhan berkenaan adalah tindakan tidak bertanggungjawab serta tidak wajar dilemparkan kepada polis hanya disebabkan hasil siasatan tidak berpihak kepada pengadu.
"Dakwaan oleh pemilik akaun Tiktok @bettybanafee bahawa pihak polis tidak mempunyai prosedur operasi standard (SOP) dalam siasatan adalah tidak benar sama sekali. PDRM menyangkal dakwaan tersebut dan menyifatkan ia sebagai tindakan yang tidak bertanggungjawab," katanya.
Terdahulu, Ramli berkata pihaknya mengesan hantaran yang mendakwa jabatan berkenaan gagal membuat siasatan terhadap 14 laporan polis dibuat oleh adik selebriti terbabit Shakib Abu Bakar Banafee dan empat individu lain yang dibuat sejak dua tahun lepas.
-- BERNAMA
#PDRM #siasatan terhadap 14 laporan #Ramli Mohamed Yoosuf #dakwaan selebriti
;