PDRM sahut kempen 'Geng Subuh Macam Jumaat'

Sinar Harian
Januari 30, 2024 07:30 MYT
PDRM menjadi antara agensi kerajaan pertama yang menyahut kempen tersebut di Masjid Bukit Aman dan Taman Botani Perdana, Kuala Lumpur.
SHAH ALAM: Kempen solat subuh berjemaah menerusi gerakan ‘Geng Subuh Macam Jumaat’ menyaksikan kejayaan luar jangka apabila inisiatif tersebut turut mendapat sambutan orang ramai termasuk dari luar negara.
Terbaharu Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjadi antara agensi kerajaan pertama yang menyahut kempen tersebut menerusi anjuran program #GengSubuhMacamJumaatPDRM pada Ahad di Masjid Bukit Aman dan Taman Botani Perdana, Kuala Lumpur.
Perkara itu dimaklumkan menerusi perkongsian di Facebook rasmi PDRM pada Selasa.
Acara yang dijangka bermula pada jam 5.30 pagi itu turut disertai oleh selebriti yang menggerakkan kempen ‘Geng Subuh Macam Jumaat’ iaitu Alif Satar.
Program berkenaan dijangka bakal disertai oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain; Penceramah, Mohd Affendi Mohamed Nor (PU Fendi) dan Yabang Khalifah sebagai bilal.
Selain itu, program yang bakal diimamkan oleh Timbalan Pengarah JIPS (Bahagian Agama dan Kaunseling - BAKA) Bukit Aman, Datuk Ghazali Daud itu juga menyediakan aktiviti-aktiviti menarik seperti Fun Run dan Fruit Truck untuk orang ramai.
Sebelum ini, media melaporkan usaha Alif dalam melancarkan kempen #GengSubuhMacamJumaat pada hari pertama mendapat sambutan hebat daripada pelbagai lapisan usia.
Kempen yang dimulakan dengan solat subuh berjemaah di Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Bukit Damansara itu mendapat sambutan menggalakkan apabila menyaksikan kehadiran kira-kira 3,000 jemaah. - Sinar Harian
#GengSubuhMacamJumaat #PDRM #Alif Satar #Masjid Bukit Aman
;