PDRM sahkan terima laporan portal berita dedah rancangan pertukaran kepimpinan PDRM

Ridauddin Daud
Ogos 6, 2024 20:38 MYT
Rusdi mengesahkan menerima satu laporan polis berhubung sebuah portal dalam talian yang mendedahkan perancangan pertukaran kepimpinan tertinggi PDRM. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Polis Kuala Lumpur mengesahkan telah menerima satu laporan polis berhubung sebuah portal dalam talian yang mendedahkan perancangan pertukaran kepimpinan tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, kes tersebut kini disiasat di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Sehubungan dengan itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung perkara ini.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu berhubung penyebaran kenyataan tidak sahih di laman sosial,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Menurutnya, siasatan awal mendapati artikel tersebut ditulis oleh tiga orang penulis, disiarkan pada 6 Ogos 2024 pada jam 7 pagi dan dikemaskini pada jam 3.35 petang.
Artikel tersebut disiarkan di dalam portal tersebut pada hari dan waktu berkenaan.
Antara inti pati kandungan tersebut ialah Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay antara yang terkesan dengan pertukaran tersebut.
Menerusi laporan tersebut, Ayob Khan didakwa akan ditukarkan, ditempatkan di salah satu agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Selain itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain juga didakwa terkesan dengan pertukaran tersebut.
Menurut laporan itu, Shuhaily pula akan mengetuai Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), memegang jawatan Ketua Pengarah.
“Profiling kepada SKMM akan dipohon bagi mendapatkan butiran pengendali artikel yang disiarkan di portal berita tersebut.
“Siasatan lanjut diteruskan dengan memanggil penulis artikel tersebut bagi membantu siasatan,” jelasnya.
#PDRM #laporan polis #kepimpinan tertinggi #pertukaran
;