PDRM sahkan dua rakyat Malaysia ditahan di Maldives kerana cuba seludup dadah

Bernama
Julai 30, 2024 09:31 MYT
Kok Chin berkata pihaknya sudah berhubung dengan pihak berkuasa Maldives mengenai tangkapan itu. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan dua rakyat Malaysia ditahan pihak berkuasa Maldives kerana cuba menyeludup dadah bernilai kira-kira RM3.7 juta ke negara berkenaan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Seri Khaw Kok Chin berkata pihaknya sudah berhubung dengan pihak berkuasa Maldives mengenai tangkapan itu.
"Maklumat lanjut mengenai kes ini akan disalurkan pihak berkuasa Maldives kepada polis dalam masa terdekat," katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata PDRM akan membantu siasatan dijalankan pihak berkuasa Maldives sekiranya diperlukan.
Semalam, Bernama melaporkan dua rakyat negara ini ditahan ketika cuba menyeludup dadah dipercayai jenis ganja seberat 15 kilogram ke Maldives.
Menurut polis Maldives, pegawai Kastam negara itu menemukan dadah berkenaan di dalam bagasi seorang warga Malaysia berusia 44 tahun yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Velana dengan penerbangan dari Dubai pada pagi Sabtu.
Dadah yang dirampas itu dianggarkan bernilai 12.3 juta rufiyaa Maldivian (RM3.7 juta) dan ujian awal mengesahkan bahan itu adalah ganja.
Penemuan itu membawa kepada penahanan seorang lagi suspek berusia 41 tahun pada malam 28 Julai.
Rampasan ganja itu dilaporkan yang terbesar di Maldives tahun ini.
-- BERNAMA
#dua rakyat Malaysia ditahan #Seludup dadah #Maldives #PDRM #Khaw Kok Chin