PDRM pernah sita aset ‘Raja Dadah’ RM190 juta
Adie Sufian Zulkefli
Januari 15, 2024 18:20 MYT
Januari 15, 2024 18:20 MYT
KANGAR: Polis pernah merampas aset bernilai kira-kira RM190 juta milik lelaki rakyat Malaysia bergelar ‘Raja Dadah’ yang ditahan di Laos pada 29 Disember lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Kamarudin Md Din berkata, sebelum ini pihaknya pernah menahan suspek yang berusia 41 tahun berasal dari Perak itu.
"Polis pernah mengambil tindakan mengikut Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 (Akta 316) ke atas suspek sebelum ini.
“Malah kita juga pernah membuat rampasan (aset) suspek pada peringkat awal dan sebahagiannya sudah pun kita lucut hak dan ada yang kita sudah pulangkan semula (kepada suspek) dan nilainya, jika tidak silap saya, dalam RM190 juta,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis, di sini, pada Isnin.
Menurut Kamarudin, pihaknya belum meneliti kesan penahanan suspek terhadap kegiatan penyeludupan dadah, terutama di sempadan Malaysia.
Namun, katanya, polis sentiasa mengambil tindakan menyeluruh ke atas aktiviti terbabit.
"Malah, pada tahun ini, dengan kejayaan pembanterasan penyeludupan dadah di Perlis ini, kita akan lipat gandakan usaha untuk memastikan tiada lagi dadah yang cuba diseludup masuk daripada negara jiran ke Malaysia.
"Pada masa sama, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan biarkan kes ini selesai dahulu di Thailand dan kemudian, barulah kita akan melihat semula sama ada suspek ini akan diekstradisi atau sebaliknya.
"Buat masa ini, kita belum lagi ada perancangan terhadap langkah berkenaan," katanya.
Sebelum ini, media melaporkan, seorang rakyat Malaysia yang dikehendaki di Thailand ditahan di Laos ketika bersembunyi di negara berkenaan, bagi membantu siasatan aktiviti penyeludupan dan pengedaran dadah.
Pihak berkuasa Thailand melaporkan, suspek menggunakan negara itu sebagai lokasi aktiviti pengubahan wang haram dan transit untuk penyeludupan dadah ke Malaysia, Taiwan dan Australia.
PDRM mengesahkan, suspek turut disenarai hitam selepas disyaki menjadi dalang sindiket pengedaran dadah di kawasan Segi Tiga Emas membabitkan Myanmar, Laos dan Thailand sejak 2006.