PDRM perlu tingkat kecanggihan teknologi atasi jenayah 'dark web' - Akhbar Satar

Hasimi Muhamad
Mei 5, 2019 13:19 MYT
AKHBAR: Polis dan SKMM perlu berada setapak di hadapan sebab jualan dadah, pistol dan pembunuh upahan dilakukan di dalam dark web. -Gambar fail
Bagi mendepani cabaran menangani jenayah masa kini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu meningkatkan kepakaran dan kecanggihan dalam bidang teknologi.
Menurut Presiden Persatuan Pemeriksaan Penipuan Bertauliah Malaysia, Datuk Seri Akhbar Satar, usaha itu penting bagi memastikan kegiatan jenayah komersial dan pengedaran dadah di pasaran gelap dalam talian dapat dibendung.
Katanya, antara cabaran yang perlu dihadapi pihak polis masa kini adalah bahaya ‘dark web’.
“Kini kita dapati dalam ‘dark web’ kita tidak boleh masuk melalui (carian) Google, sebaliknya memerlukan perisian khusus.
"Maknanya, polis dan pihak SKMM perlu berada setapak di hadapan sebab jualan dadah, pistol dan pembunuh upahan dilakukan di dalam ‘dark web’,” katanya pada Program Menjelang Setahun Malaysia Baharu, pada Ahad.
Jelasnya lagi, negara perlu mengambil contoh seperti negara Singapura dan Amerika Syarikat yang menggunakan kecanggihan teknologi dalam agensi penguatkuasaan mereka.
“Di kereta (polis) mereka ini sudah ada kamera, bukan sahaja untuk membantu kita (pihak polis) menjalankan siasatan, tetapi juga memudahkan lagi kita (menjalankan siasatan).
"Mereka juga memasang kamera di baju (body cam). Maka, perbualan mereka boleh didengar dan ini juga untuk keselamatan pihak berkuasa.
“Kadang kala ada tohmahan yang dibuat maka kita boleh lihat melalui kamera yang dipasang di kereta dan di baju. Ini merupakan langkah yang banyak dilakukan oleh negara luar,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menaruh harapan tinggi kepada Ketua Polis Negara (KPN) baharu, Datuk Seri Abdul Hamid Bador dalam mentransformasi pasukan polis dan mengembalikan integriti pasukan keselamatan itu.
#Amerika Syarikat #Dark Web #Google #jenayah #PDRM #presiden #SKMM
;