PDRM, Peguam Negara masih bincang kertas siasatan Dr Mahathir

Rahimah Abdullah
Disember 16, 2015 23:11 MYT
Khalid dalam pada itu menegaskan, siasatan hanya menjurus kepada kenyataan yang dibuat Bekas Perdana Menteri berkenaan dan bukan kehadirannya ke perhimpunan itu. - Gambar fail
Polis masih berbincang dengan Jabatan Peguam Negara berhubung kertas siasatan melibatkan Tun Dr Mahathir Mohammad yang didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah semasa Perhimpunan Bersih 4, Ogos lalu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menjelaskan, pihaknya dalam proses mengemaskini semua maklumat yang sudah diperoleh setakat ini.
"Pihak kita sedang mengemaskini kertas siasatan itu dan kita sedang berbincang dengan pihak Jabatan Peguam Negara. Belum ada apa-apa keputusan lagi," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Program Hari Hijau PDRM di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) di sini pada Rabu.
Khalid dalam pada itu menegaskan, siasatan hanya menjurus kepada kenyataan yang dibuat Bekas Perdana Menteri berkenaan dan bukan kehadirannya ke perhimpunan itu.
"Saya tidak pernah cakap polis menyiasat Dr Mahathir kerana hadir perhimpunan Bersih. Kita menyiasat atas apa yang diucapkan beliau kerana kita menerima laporan polis daripada ketua-ketua bahagian UMNO yang mana Tun Mahathir mengatakan mereka menerima suapan duit. Itu yang kita siasat, bukan kerana dia hadir Bersih," jelasnya.
Polis menyoal siasat bekas Perdana Menteri itu pada 6 November lalu berhubung kenyataannya pada Perhimpunan Bersih 5.
Dr Mahathir diambil keterangan oleh polis di Bangunan Yayasan Bangunan Al-Bukhary kira-kira pukul 11 pagi.
#bersih 4 #Jabatan Peguam Negara #Khalid Abu Bakar #PULAPOL
;