PDRM pastikan keselamatan perhimpunan RUU355 - Ketua Polis KL

Bernama
Februari 17, 2017 19:55 MYT
AMAR SINGH: PDRM akan memastikan aspek keselamatan diutamakan sepanjang Perhimpunan RUU 355 yang berlangsung esok, terkawal. - Gambar fail
Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memastikan aspek keselamatan diutamakan sepanjang Perhimpunan RUU 355 yang berlangsung esok, terkawal.
Tanpa mendedahkan jumlah anggota yang bertugas sepanjang perhimpunan itu, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata polis telah membuat persediaan awal bagi memastikan kelancaran perhimpunan itu.
"Anggota yang akan ditugaskan adalah mencukupi dalam memastikan soal keselamatan pada perhimpunan esok berada pada tahap yang terbaik," katanya kepada Bernama ketika diminta mengulas mengenai aspek keselamatan sepanjang perhimpunan itu.
Sementara itu, Ketua Trafik Kuala Lumpur ACP Mohd Nadzri Hussain berkata pihaknya akan menugaskan kira-kira 140 anggota untuk mengawal trafik di sekitar jalan utama ke Padang Merbok sepanjang perhimpunan.
"Mereka (anggota polis trafik) akan bertugas secara bergilir-gilir dan mempunyai dua syif sepanjang perhimpunan berlangsung," katanya sambil menambah tiada penutupan jalan ke Padang Merbok ketika perhimpunan itu berlangsung.
Rabu lepas, PAS dilaporkan berkata kira-kira 200,000 orang dijangka hadir perhimpunan tersebut yang bertujuan meraih sokongan terhadap Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016.
RUU Persendirian itu dibawa oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Parlimen pada 24 Nov lepas bertujuan meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355, bagi memperkasa mahkamah syariah dalam melaksanakan hukuman jenayah.
-- BERNAMA
#Datuk Amar Singh Ishar Singh #PDRM #Perhimpunan RUU 355
;