PDRM nafi tarik balik semua pegawai keselamatan Najib

Nursyazwani Saiful Sham
Mei 29, 2018 05:57 MYT
Mohamad Fuzi bercakap kepada media selepas majlis berbuka puasa Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bersama Warga PDRM dan agensi Kementerian Dalam Negeri di Masjid Bukit Aman, Kuala Lumpur, pada Selasa. Astro AWANI
Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun menafikan menarik balik semua kawalan keselamatan ke atas bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.
Katanya, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) tidak menarik balik kawalan keselamatan yang diberikan terhadap Najib sebaliknya hanya mengurangkan jumlah anggota yang ditugaskan.
Menurut beliau, PDRM masih menyediakan bantuan kawalan keselamatan termasuk seorang pegawai Aide De Camp (ADC) untuk terus bertugas, mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
"Kita akan kekalkan mengikut SOP yang ditetapkan. Bekas-bekas perdana menteri mempunyai kelayakan-kelayakan tertentu, kita akan akur. Tetapi, kita kurangkan jumlahnya, bukan sepertimana sebelum itu.
"Bukan semuanya ditarik balik. Kita akan tetapkan mengikut SOP yang saya sebut tadi. Ada ADC, ada pengawal peribadi dan ada juga pemandu yang kita akan kekalkan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bersama Warga PDRM dan agensi Kementerian Dalam Negeri di Masjid Bukit Aman di sini, pada Selasa.
BACA: Pengiring menangis 'berpisah' dengan Najib
Terdahulu, Najib menerusi posting di Facebooknya mendakwa semua pegawai keselamatan, polis pengiring serta pegawai bantuan, yang ditugaskan kepadanya telah ditarik balik oleh kerajaan baharu kecuali seorang pegawai ADC, sejak beberapa minggu lepas.
#ADC #bekas perdana menteri #Facebook #kawalan #Ketua Polis Negara #Mohamad Fuzi Harun #Najib Razak #PDRM #pengiring keselamatan #Perdana Menteri #SOP #tarik balik
;