PDRM nafi mesej ASP Suman Kumar

Astro Awani
Januari 22, 2013 08:33 MYT
Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan mesej ‘ASP Suman Kumar’ yang disebarkan di media sosial baru-baru ini adalah mesej rasmi PDRM.
Mesej sedemikian pernah disebarkan melalui e-mel beberapa tahun lalu dan kini muncul semula menerusi Facebook serta Twitter.
PDRM, dalam satu kenyataan, menegaskan tiada pegawainya bernama ASP Suman Kumar yang bertugas di bahagian D9, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.
Menurut kenyataan itu juga, notis rasmi PDRM kebiasaannya dikeluarkan menerusi platform rasmi atau media massa.
Mesej yang tersebar luas itu antaranya meminta wanita agar berhati-hati dengan taktik penjenayah yang menggunakan kanak-kanak untuk mengumpan mangsa.
Ia menasihati wanita agar tidak terpedaya dengan rayuan kanak-kanak yang menangis di tepi jalan meminta dihantar pulang, kononnya terdapat kes dimana ada mangsa yang dirompak, diculik dan dirogol selepas cuba membantu kanak-kanak berkenaan.
PDRM bagaimanapun bersetuju jika orang ramai berdepan situasi sedemikian, adalah lebih baik jika kanak-kanak itu diserahkan ke balai polis berdekatan.
#ASP Suman Kumar #Bukit Aman #culik #D9 #mesej #Polis Diraja Malaysia #rogol
;