Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini menafikan bahawa ia menjalankan siasatan selektif terhadap isu-isu yang melibatkan penghinaan terhadap agama dan kenyataan berbaur perkauman yang disebarkan di media sosial.

Timbalan ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Bakri Mohd Zinin berkata pihak polis tidak pernah bersikap selektif dalam menjalankan siasatan dengan memberikan keutamaan kepada mana-mana kaum atau agama.

“Walau bagaimanapun, perlu diperjelaskan bahawa tempoh yang diambil untuk melengkapkan sesuatu kertas siasatan berbeza-beza dan bergantung kepada banyak faktor, khususnya maklumat yang berjaya dikumpulkan,” katanya di dalm satu kenyataan media.

Mohd Bakri berkata dalam menangani kenyataan-kenyataan yang tidak bertanggungjawab di media sosial, khususnya Facebook, PDRM harus mengambil tindakan untuk mengenal pasti pemilik sah akaun yang digunakan terlebih dahulu agar tindakan yang adil dapat dilaksanakan.

“Dalam kebanyakkan kes, akaun akan didaftarkan di luar negara di mana undang-undang Malaysia tidak terpakai.

“Selain daripada itu, PDRM juga terpaksa mengambil masa yang lama untuk menjalankan siasatan forensik apabila pemilik mendakwa akaun mereka telah diceroboh oleh pihak ketiga kerana ia melibatkan kerjasama dengan agensi lain,” katanya.

Mohd Bakri menambah pengguna media sosial tidak menyebarkan maklumat sedemikian yang akan memburukkan lagi ketegangan yang wujud.