PDRM nafi dakwaan terhadap DCP Mior Faridalathrash

Bernama
Ogos 20, 2020 04:55 MYT
DCP Mior Faridalathrash Wahid. Gambar fail
Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman menafikan dakwaan Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) JSJ, DCP Mior Faridalathrash Wahid adalah bapa saudara kepada Pengerusi PKR, Farhash Wafa Salvavador.
Pengarah JSJ Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata semua dakwaan yang tular di media sosial itu adalah tidak berasas.
Beliau berkata laporan itu menyatakan semua kes yang melibatkan Farhash dilepaskan begitu sahaja disebabkan wujud konflik kepentingan.
“Kes terbaru melibatkan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Aidil Azim Abu Adam di mana laporan tersebut mendakwa DCP Mior Fardalathrash merupakan pegawai penyiasat.
“Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut dan ingin menegaskan bahawa DCP Mior Faridalathrash bukan bapa saudara Farhash dan semua dakwaan yang dibuat adalah tidak tepat, tidak benar, berniat jahat dan berunsur fitnah,” katanya dalam kenyataan di sini, malam tadi.
Huzir berkata semua kes melibatkan Farhash sebelum ini atau pada bila-bila masa tidak pernah disiasat oleh DCP Mior Faridalathrash dan semua siasatan dikaitkan dengan Farhash mahupun Anwar disiasat oleh pasukan khas siasatan yang secara langsung diselia oleh beliau selaku Pengarah JSJ.
“Beliau (DCP Mior Faridalathrash) juga pada bila-bila masa tidak pernah berjumpa dengan Farhash sebelum atau selepas apa juga siasatan yang membabitkan Farshah atau Anwar Ibrahim,” katanya.
Menurutnya, semua keputusan siasatan untuk mendakwa atau sebaliknya adalah di bawah kuasa Jabatan Peguam Negara.
-- BERNAMA
#Anwar Ibrahim #bapa saudara #Bukit Aman #Farhash Wafa Salvavador #fitnah #Huzir Mohamed #liwat #media sosial #Mior Faridalathrash Wahid #Peguam Negara #polis #siasatan #tuduhan
;