PDRM nafi ancaman militan Daish di ibu negara

Khairunnisa Kasnoon
Januari 17, 2016 14:15 MYT
Seorang Menteri kabinet pada pagi Ahad telah melaporkan beberapa lokasi termasuk Bangsar dan Hartamas kini menjadi 'hotspot' terbaharu ancaman militan Daish. - Gambar fail
Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari inimenafikan berita berhubung kumpulan militan Daish sudah menetapkan beberapa kawasan di sekitar ibu negara untuk melancarkan serangan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar telah memuat naik status di Twitternya menyarankan pihak yang tidak bertanggungjawab untuk tidak membuat spekulasi berhubung keadaan keselamatan di sekitar ibu negara.
Menurut Khalid, perbuatan menyebarkan berita yang tidak sahih dan tidak benar itu hanya akan merungsingkan rakyat di negara ini.

Semua pihak diminta hentikan buat spekulasi tentang k'daan k'lamatan Bandaraya/Negara kita yg merunsingkan Rakyat. @PDRMsia s'tiasa bersedia

— Khalid Abu Bakar (@KBAB51) January 17, 2016
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Tajuddin Md Isa ketika dihubungi Astro AWANI hari ini menyifatkan, penyebaran berita itu tidak benar dan tidak tepat.
Malah katanya, sehingga kini tiada laporan dari Cawangan Khas PDRM mengenai ancaman serangan terbabit.
"Sebenarnya, dakwaan ini kita lihat telah diviralkan oleh orang ramai, jadi secara khususnya saya buat penafian bahawa memang ada beberapa buah tempat yang dikhususkan kononnya untuk diserang. Berita sedemikian yang telah diviralkan ini tidak dapat disahkan kesahihan beritanya.
Jadi, saya menyeru orang ramai, kalau boleh berita yang tidak tentu kesahihannya ini, jangalah diviralkan. Pihak polis sebenarnya telah pun meningkatkan tahap keselamatan khususnya di tempat-tempat tumpuan orang ramai di Kuala Lumpur iaitu di pusat-pusat membeli-belah, tempat hiburan dan kita telah pun melipat-gandakan kekuatan kehadiran anggota keselamatan di tempat-tempat yang saya sebutkan tadi," ujarnya kepada Astro AWANI di sini hari ini.
BACA: Bangsar, Hartamas antara 'hotspot' baharu ancaman pengganas - Tengku Adnan
Beliau pada masa sama meminta orang ramai supaya tidak terpengaruh dengan dakwaan yang tersebar, sebaliknya merujuk kepada pihak polis terlebih dahulu.
Katanya, jika ada pihak atau individu yang menerima berita sedemikian haruslah menyemak atau hubungan pihak polis samasa di Ibu Pejabat Daerah (IPD) atau Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) untuk menadapatkan kesahihan berita.
"Saya juga minta orang ramai yang mempunyai maklumat tentang perkara yang tidak diingini berlaku, salurkanlah kepada polis secepat mungkin untuk kita mengambil tindakan sewajarnya dengan memeriksa maklumat yang kita peroleh," kata Tajuddin.
Tajuddin mengulas dakwaan kononnya terdapat ancaman serangan kumpulan militan Daish di beberapa lokasi hot spot di sekitar ibu negara, antaranya Bangsar dan Hartamas.
#Bangsar #daish #hartamas #militan #Tajuddin Md Isa
;