PDRM masih tunggu laporan patologi, siasat dakwaan ADUN Perak
Dewi Nur Harasha Alias
Januari 20, 2022 14:36 MYT
Januari 20, 2022 14:36 MYT
GEORGE TOWN: Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih menunggu laporan daripada pakar patologi berhubung kes Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Perak yang positif dadah selepas di tahan dalam serbuan di sebuah pusat karaoke keluarga di Seberang Perai pada 13 Januari lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pulau Pinang, Asisten Komisioner Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, polis juga akan mengambil tindakan susulan sebaik menerima laporan berkenaan.
“Kita masih tunggu laporan itu. Saya tidak boleh memberi satu tempoh masa, kebiasaannya ia akan mengambil masa sebulan hingga tiga bulan bergantung kepada situasi.
“Sebaik terima (laporan) kita akan lengkapkan siasatan dan akan serahkan kepada pihak Timbalan Pendakwaraya Negeri (TPR) untuk tindakan selanjutnya. Sebarang perkembangan lanjut berkaitan kes itu akan dimaklumkan kemudian,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Khamis.
Mengulas laporan media bahawa ujian saringan kali kedua yang dilakukan ke atas ADUN berusia 54 tahun itu didapati negatif, Mustafa Kamal berkata, pihak polis akan menyiasat dengan teliti semua dakwaan dan laporan polis dibuat wakil rakyat itu.
“Sebagaimana kenyataan Pengarah JSJN tempoh hari, polis akan menyiasat semua dakwaan dibuat wakil rakyat berkenaan, pihak polis akan menyiasat dengan seadil-adilnya berlandaskan fakta dan bukti-bukti yang ada” katanya.
Pada Rabu, sebuah portal melaporkan peguam ADUN tersebut, Ramkarpal Singh mendakwa ujian dadah kali kedua yang dijalankan ke atas wakil rakyat dari Perak gagal mengesan dadah terlarang.
Susulan itu, Ramkarpal berkata, pihaknya sudah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) untuk siasatan lanjut.
Pada 14 Januari lepas, media melaporkan ADUN Perak ditahan Polis selepas positif dadah dalam serbuan di pusat karaoke keluarga di Seberang Perai.
Beliau yang direman sehari kemudian dibebaskan dengan jaminan polis.
Serbuan polis dari Jabatan Integriti dan pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman itu menahan 48 individu ditahan dengan 36 daripadanya berkaitan kes narkotik manakala 12 lagi berkaitan kes jenayah.