PDRM mahu kongsi kemahiran dengan agensi penguat kuasa lain - KPN

Bernama
September 24, 2024 15:43 MYT
Razarudin hadir pada majlis perasmian Simposium Sains Forensik Kebangsaan Untuk Penguatkuasaan Undang-Undang (NAFSLE) 2024 di Maktab PDRM Cheras hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhasrat berkongsi kepakaran yang dimiliki pasukan itu dengan agensi penguatkuasa lain menerusi pelbagai kursus yang boleh dianjurkan pada masa hadapan.
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata untuk tujuan itu, pihaknya juga berhasrat untuk meningkatkan kemahiran tenaga pengajar di maktab PDRM dengan sekurang-kurangnya mereka memiliki kelulusan peringkat ijazah sarjana muda.
Beliau berkata PDRM menjemput mana-mana agensi untuk mengikuti kursus dalam bidang-bidang yang merupakan kepakaran pihak polis di pusat latihan PDRM seperti simposium yang diadakan hari ini.
"Satu kajian perlu dilakukan supaya tenaga pengajar di maktab-maktab PDRM perlu sekurang-kurangnya memiliki kelulusan ijazah sarjana muda dan ke atas.
"Mereka akan diuruskan kenaikan pangkat secara fleksi contohnya jika masuk sebagai ASP mungkin dua tiga tahun dia akan dapat DSP disebabkan kelulusan dan kepakaran yang dimiliki," katanya ketika berucap merasmikan Simposium Sains Forensik Kebangsaan Untuk Penguatkuasaan Undang-Undang (NAFSLE) ke-5 2024 di Maktab PDRM, di sini, hari ini.
Turut hadir Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain dan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa.
Ketika ini terdapat dua maktab kendalian PDRM iaitu di Kuala Lumpur dan di Kuala Kubu Baharu, Selangor.
Simposium tiga hari bermula hari ini dihadiri 300 peserta terdiri daripada pegawai kanan PDRM, pengamal undang-undang dan pakar bidang daripada jabatan serta agensi penguatkuasaan undang-undang di negara ini.
Selain itu, Razarudin berkata PDRM ketika ini melaksanakan penambahbaikan menerusi inovasi teknologi dengan memperkenalkan kaedah seperti pengujian asid deoksiribonukleik (DNA) dan analisis digital, yang meningkatkan kredibiliti bahan bukti di mahkamah dan mempercepat proses penyiasatan.
"Melalui penggunaan imbasan 3D dan profil DNA, analisis bahan bukti menjadi lebih tepat, menghasilkan laporan siasatan yang sukar untuk dicabar dan dipertikaikan. Kemajuan teknologi ini menyumbang dalam peningkatan keadilan dan kepercayaan masyarakat terhadap sistem perundangan sedia ada," katanya.
-- BERNAMA
#PDRM #berkongsi kepakaran #Razarudin Husain #agensi penguatkuasa lain #Ketua Polis Negara
;