PDRM kutip lebih RM1 juta saman pada hari pertama program 2TM

Bernama
November 22, 2024 20:45 MYT
Mohd Yusri Hassan (dua,kiri) beramah mesra bersama Orang ramai yang menyemak dan membayar saman trafik di kaunter khas bayaran kompaun saman PDRM sempena Program 2TM di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya mengutip RM1.03 juta pembayaran saman setakat 3 petang pada hari pertama penganjuran Program Dua Tahun Kerajaan MADANI (2TM) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata jumlah itu ialah hasil bayaran yang diterima daripada 2,750 pengunjung yang hadir merebut tawaran diskaun 60 peratus daripada PDRM.
"Kempen bayaran saman 60 peratus ini telah bermula dari 9 pagi tadi dan setakat pukul 3 petang, kita telah berjaya menyelesaikan sebanyak 11,620 saman.
"Bagi kempen kali ini, PDRM telah membuat persiapan teliti untuk kemudahan dan keselesaan pengunjung dengan menyediakan 25 kaunter semakan dan bayaran saman termasuk tujuh kaunter khas dan 21 mesin e-payment, serta 520 kerusi untuk orang ramai menunggu," katanya ketika ditemui pemberita di kaunter semakan dan bayaran saman trafik PDRM, di sini hari ini.
Beliau berkata pengunjung juga boleh menjelaskan bayaran menerusi aplikasi MyBayar PDRM bagi menjimatkan masa tanpa perlu beratur panjang dan kupon diskaun 60 peratus boleh didapati di kaunter penebusan kupon MyBayar PDRM pada program 2TM hari ini.
"Saya menasihati orang ramai untuk menggunakan peluang ini membayar saman yang telah kita berikan diskaun khas sebanyak 60 peratus bersempena dengan Program 2TM memandangkan ia boleh membantu dari segi kewangan.
"Saya juga menggalakkan orang ramai supaya menyegerakan bayaran saman agar tidak dikenakan tindakan undang-undang, seperti waran tangkap serta disenaraihitamkan untuk urusan membaharui cukai jalan dan lesen," katanya.
Sementara itu, Mohd Yusri berkata PDRM turut bercadang untuk memperluas kempen diskaun saman ke balai polis lain di seluruh negara pada pertengahan Disember ini.
"Kita akan bermesyuarat untuk melaksanakan perkara itu seawal pertengahan bulan 12, namun kita akan kaji diskaun yang akan diberikan sama ada 60 peratus atau mungkin kurang daripada itu kerana kita akan tengok dalam pelbagai sudut," katanya.
Beliau turut menyasarkan jumlah pengunjung meningkat dua kali ganda pada esok dan lebih ramai pada hari terakhir tawaran diskaun saman 60 peratus kerana tiada lanjutan akan ditawarkan.
Kaunter semakan dan pembayaran saman antara pengisian pada Program 2TM yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini hingga Ahad bertemakan "MADANI di Hati, Rakyat Disantuni".
-- BERNAMA
#PDRM #Kerajaan Madani #saman #cukai jalan
;