PDRM kesan skim penipuan pelaburan 'MIDF Investment' libat kerugian lebih RM2 juta

Bernama
Mei 24, 2024 19:10 MYT
Ramli berkata, hasil siasatan mendapati MIDF Investment menawarkan lapan pakej pelaburan serendah RM300 (keuntungan RM13,999) sehingga RM5,000 (keuntungan RM99,999). - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan kewujudan skim penipuan pelaburan 'MIDF Investment' yang menawarkan skim pelaburan melalui aplikasi Facebook dengan keuntungan dalam tempoh antara tiga hingga enam jam.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, hasil siasatan mendapati MIDF Investment menawarkan lapan pakej pelaburan serendah RM300 (keuntungan RM13,999) sehingga RM5,000 (keuntungan RM99,999).
"Pembayaran wang pelaburan dibuat melalui akaun bank persendirian dipercayai akaun keldai. Sindiket ini turut menggunakan logo Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF), sebuah syarikat milik Malaysia Building Society Berhad (MBSB) dipercayai bagi mengelirukan mangsa.
"Sehingga kini 72 laporan polis diterima daripada mangsa skim penipuan ini yang melibatkan nilai kerugian keseluruhan lebih RM2 juta," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata kes ini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan mengingatkan orang ramai untuk sentiasa berwaspada dan melaksanakan semakan yang lebih terperinci sebelum menyertai mana-mana skim pelaburan terutama yang menjanjikan keuntungan yang terlalu lumayan.
Ramli berkata, penggunaan akaun persendirian untuk menerima wang pelaburan juga merupakan tanda amaran bahawa skim pelaburan tersebut adalah meragukan.
"Sebagai rekod, pihak Suruhanjaya Sekuriti dan Bank Negara Malaysia telah menyenaraikan MIDF Investment ini di dalam senarai amaran masing-masing," katanya.
-- BERNAMA
#PDRM #MIDF Investment #skim pelaburan #Ramli Mohamed Yoosuf
;