PDRM kekalkan keselamatan negara di tahap terbaik sepanjang tahun lepas
Bernama
Mac 25, 2024 18:16 MYT
Mac 25, 2024 18:16 MYT
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya mengekalkan situasi keselamatan negara pada tahap yang amat baik dan terkawal sepanjang tahun lepas, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain.
Beliau berkata 52,444 kes direkodkan oleh statistik Jenayah Indeks Negara melalui Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) yang mencatatkan 94.74 peratus tangkapan, 80.29 peratus penyelesaian kertas siasatan dan 58.71 peratus kadar pertuduhan.
Dalam usaha pembanterasan najis dadah pula Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) telah menumpaskan 273 sindiket dan memberkas 908 orang di seluruh negara, dengan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM482.95 juta sepanjang tahun lepas.
"Sebanyak 179,865 tangkapan melibatkan 158,493 kes dibuat JSJN di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Racun 1952 dan Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.
"Bagi jenayah komersil, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil telah menjalankan 18,221 operasi dan memberkas 22,911 individu atas pelbagai kesalahan sepanjang tahun 2023," katanya ketika berucap pada Sambutan Peringatan Hari Polis ke-217 di Pusat Latihan Polis (PULAPOL), di sini hari ini.
Hari ini, PDRM meraikan sambutan Peringatan Hari Polis ke-217 di seluruh negara, di setiap peringkat Ibu Pejabat Polis Kontinjen dan Ibu Pejabat Polis Daerah.
Sambutan di PULAPOL dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan acara dimeriahkan dengan persembahan teater Subuh Berdarah yang berkisarkan tentang tragedi pertempuran polis dengan komunis di Balai Polis Kuala Krau, Temerloh, Pahang pada 1949.
Razarudin berkata PDRM melalui Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) telah menggerakkan kesemua elemennya meliputi darat, laut dan udara secara total dalam pelbagai operasi bersepadu khususnya melibatkan kawalan sempadan negara.
"Sebanyak 5,646 tangkapan telah dibuat dengan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM979.89 juta menerusi 7,355 kes yang dilaporkan sepanjang tahun lepas," katanya.
Dalam perkembangan sama 1,395 kes aktiviti penyeludupan direkodkan dan 1,364 orang ditangkap atas pelbagai kesalahan penyeludupan termasuk kontraban, dengan nilai rampasan berjumlah RM508.76 juta sepanjang tahun 2023.
-- BERNAMA