PDRM, JIM, APM gempur Pasar Selayang, tahan 108 PATI

Afiezy Azaman
Januari 27, 2024 10:20 MYT
Dalam Op Taring II di Pasar Harian Selayang awal pagi ini, pemeriksaan dilakukan ke atas 213 warga asing dan seramai 108 PATI ditahan atas pelbagai kesalahan. - Foto PDRM
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menggempur Pasar Harian Selayang dalam Operasi Khas Op Taring II, awal pagi ini.
Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Allaudeen Abdul Majid, operasi bertujuan membanteras pelbagai jenayah dan aktiviti tidak sihat di sekitar pasar tersebut, terutamanya melibatkan pendatang asing tanpa izin (PATI).
"Operasi yang dijalankan pada jam 3 pagi itu melibatkan 465 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi penguat kuasa.
"Pemeriksaan dilakukan ke atas 213 warga asing dan seramai 108 daripadanya merupakan PATI yang telah ditahan atas pelbagai kesalahan.
"Warga Indonesia paling ramai ditahan melibatkan 52 orang, diikuti Myanmar (35), India (12), Bangladesh (tujuh), manakala Nepal dan Pakistan masing-masing satu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Allaudeen berkata, kesemua mereka diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959 dan Seksyen 15 (1) (c) akta sama kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah dan menetap lebih masa.
Menurutnya, pihak polis yang dibantu jabatan dan agensi kerajaan lain akan terus menjalankan operasi khas seperti ini pada masa akan datang.
"Justeru, orang ramai dialu-alukan untuk menyalurkan maklumat berhubung kegiatan yang mencurigakan atau kehadiran PATI di kawasan masing-masing kepada polis," ujarnya.
#Pasar Harian Selayang #jenayah #pati #operasi
;