PDRM hadapi kekangan anggota jika PRU15 ketika banjir - Hamzah

Hasimi Muhamad
Oktober 12, 2022 17:16 MYT
Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, PDRM bersama agensi di bawah kementerian tersebut turut mempunyai pelan kontingensi jika berdepan bencana banjir besar pada bila-bila masa - Foto/AWANI
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengalami kekangan dalam menggerakkan operasi pengurusan banjir sekiranya kekuatan anggota perlu diatur bagi penugasan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, kekangan berkenaan disebabkan penugasan anggota perlu dibuat selaras dengan Akta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Beliau berkata, untuk mengatasi masalah berkenaan, KDN mendapatkan bantuan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).
"Berdasarkan rekod, hampir 75,000 anggota polis telah ditugaskan bagi PRU14. Bagi PRU15, akibat peningkatan pengundi berusia 18 tahun ke atas secara automatik, PDRM menganggarkan lebih 94,000 anggota perlu ditugaskan untuk menjaga saluran (mengundi).
"Maka kerjasama yang diperlukan ialah Rela, di mana mereka akan ditugaskan di luar kawasan (saluran). Ini adalah untuk membantu anggota polis, kerana dulunya di luar kawasan (pusat mengundi) juga perlu diletakkan anggota polis," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menerima taklimat bencana seluruh negara di Bukit Aman, pada Rabu.
Dalam pada itu, Zainudin berkata, simulasi banjir telah selesai dilaksanakan di seluruh negara bagi menghadapi sebarang kemungkinan bencana termasuk jika bencana itu berlaku ketika PRU15.
Beliau berkata, PDRM bersama agensi di bawah kementerian tersebut turut mempunyai pelan kontingensi jika berdepan bencana banjir besar pada bila-bila masa.
Jelas beliau, seramai 21,018 anggota polis bersama 1,681 aset diatur gerak, selain 4,367 pegawai dan anggota Rela bersiap sedia di lokasi-lokasi berpotensi banjir di seluruh negara.
"Selain itu, semua ketua polis daerah telah diarah untuk melakukan persedian awal bagi mengetuai pusat operasi pengurusan banjir di peringkat daerah masing-masing selaras dengan arahan Majlis Keselamatan Negara, Dasar Pengurusan Bencana Negara (MKN 20).
"Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) pula ditugaskan memberi bantuan ke pulau-pulau khususnya penghantaran bekalan makanan dan keperluan asas dan juga pemindahan mangsa banjir dengan menggunakan pesawat udara," katanya
Mengulas lanjut, Hamzah berkata simulasi yang dijalankan turut mengambil kira sekiranya pusat mengundi ditenggelami banjir.
"Pintu masuk dan keluar (pusat mengundi) adalah penting dan pihak berkuasa akan mengenal pasti tempat yang sesuai untuk memindahkan mangsa.
"Kita sebenarnya sedang bersiap sedia sekiranya perkara itu berlaku, dan kita akan fikirkan bagaimana cara untuk adakan pintu untuk mangsa-mangsa yang terpaksa menggunakan sekolah yang sama.
"Sebab di sini pusat mengundi hanya menggunakan beberapa kawasan di sekolah bukan keseluruhannya.
“Kami telah menjalankan simulasi menyeluruh. Keluar masuk pekerja, mereka yang bertugas dan mangsa banjir," katanya.
Dalam masa yang sama, Hamzah berkata pusat pemindahan sementara mangsa banjir turut diaktifkan di kawasan yang telah dinaiki air termasuk di Tanjung Karang, Selangor; Baling, Kedah; Kuala Pilah, Negeri Sembilan serta beberapa kawasan di Sabah dan Sarawak.
Selain itu, ujarnya misi bantuan diatur gerakkan kepada mangsa-mangsa yang terlibat.
#Hamzah Zainudin #persiapan banjir #PRU15 #PDRM
;