PDRM guna dron pantau trafik di Lebuhraya Utara Selatan

Fareez Azman
Januari 21, 2023 14:12 MYT
Pasukan Dron PDRM telah tempatkan di sektor Utara, Timur dan Selatan dan fokus utamanya adalah membantu JSPT memantau keadaan lalu lintas di lokasi-lokasi hotspot. - PDRM
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggunakan unit dron dalam memantau kelancaran lalu lintas di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) sepanjang Ops Selamat ke-19.
Menurut Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mat Kasim Karim, Unit Dron dari Pasukan Gerakan Udara (PGU), PDRM diatur gerak ke sektor Utara, Timur dan Selatan dalam membantu pemantauan dilakukan di lokasi hotspot dikenal pasti.
"Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa komited dalam memastikan kelancaran lalu lintas untuk keselesaan dan keselamatan semua pengguna jalan raya.
"Pergerakan akan mula sesak apabila orang ramai telah mula pulang ke pantai timur, utara dan selatan dan kita jangkakan sebanyak 170,000 kenderaan di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, 60,000 di Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) manakala 2 juta kenderaan di Lebuhraya Utara Selatan akan berada di lebuh raya bermula hari ini," jelasnya dalam kenyataan ringkas pada Sabtu.
Tambahnya, menerusi penggunaan dron juga dapat memudahkan segala tindakan pantas boleh diambil di lapangan sekiranya sebarang pelanggaran peraturan jalan raya.
"Pasukan Dron PDRM telah tempatkan di sektor Utara, Timur dan Selatan dan fokus utamanya adalah membantu JSPT memantau keadaan lalu lintas di lokasi-lokasi hotspot.
"Ia memudahkan segala input disampai dengan pantas kepada petugas JSPT di lapangan agar segala tindakan diambil dengan segera.
"PDRM menyarankan pengguna jalan raya yang penat dan perlu berehat, berhenti di kawasan rehat dan rawat (R&R), hentian sebelah dan plaza tol di lebuh raya termasuklah bagi menunaikan solat atau ke tandas," jelasnya lagi.
Ujarnya lagi, orang ramai dinasihatkan agar mematuhi undang-undang serta peraturan lalu lintas bagi memastikan tiada tragedi tidak diingini berlaku sepanjang musim perayaan ini.
#dron #PDRM #Pantau #Lebuhraya PLUS #Utara Selatan #Op Selamat 19
;