PDRM gerak pasukan Op Cantas Khas pantau perjalanan PRU15

Bernama
November 5, 2022 23:09 MYT
Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata pasukan itu turut bertindak mengawal tingkah laku dan gerak kerja pihak terlibat dengan gangsterisme yang cuba mengambil kesempatan sepanjang tempoh PRU15 diadakan. - Gambar fail/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengatur gerak pasukan Op Cantas Khas untuk menjalankan risikan, pemantauan dan mengambil tindakan terhadap pihak yang cuba melakukan kekacauan sepanjang proses Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata pasukan itu turut bertindak mengawal tingkah laku dan gerak kerja pihak terlibat dengan gangsterisme yang cuba mengambil kesempatan sepanjang tempoh PRU15 diadakan.
Selain itu, pihaknya menempatkan pegawai PDRM dalam Pasukan Pemantau Kesalahan Pilihan Raya (PP-KPR) bagi memastikan setiap pihak melakukan kempen mengikut garis panduan yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
"PDRM bersama SPR serta agensi lain yang berkaitan juga akan melakukan pemantauan setiap masa dalam memastikan proses berkempen dan pengundian dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata seramai 80,000 pegawai dan anggota seluruh negara diaturgerak untuk penugasan PRU15 bagi memastikan tahap keselamatan terjamin dan memberi keyakinan kepada orang ramai untuk keluar mengundi secara selamat.
Acryl Sani turut menasihatkan parti-parti politik untuk berkempen secara beretika dan matang serta tidak menyentuh isu sensitif seperti agama dan perkauman.
"Pihak yang terlibat secara langsung dalam proses pilihan raya seperti calon dan pengurus kempen harus memikul tanggungjawab dalam mengendali dan menguruskan sentimen penyokong masing-masing agar tidak berlaku insiden seperti di Tenom, Sabah.
"Kejadian berkenaan merupakan contoh bagaimana situasi penyokong yang tidak dikawal boleh mengakibatkan kemudaratan yang seharusnya tidak berulang kembali kerana (ia) merupakan ancaman kepada tahap keselamatan dan ketenteraman awam," katanya.
Beliau berkata, pihaknya turut mengenal pasti kesalahan lazim yang berlaku ketika berkempen iaitu mengoyak poster, mengeluarkan kata-kata atau perbuatan yang berbaur hasutan, bergaduh, demonstrasi, kesalahan melalui medium Internet dan tohmahan.
Acryl Sani berkata selain tindakan di bawah Akta Kanun Keseksaan, PDRM juga akan menggunakan undang-undang dan peraturan-peraturan yang berkait secara langsung dengan pilihan raya.
"Tindakan itu adalah Akta Pilihan Raya 1958, Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981 dan Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003," katanya.
"PDRM sentiasa komited dalam memastikan situasi keselamatan terkawal sepanjang tempoh berkempen, hari mengundi dan pasca PRU...kita berharap proses demokrasi pada kali ini berjalan dengan lancar dan aman tanpa insiden-insiden yang tidak diingini," katanya.
-- BERNAMA
#PDRM #Op Cantas Khas #PRU15 #Ketua Polis Negara
;