PDRM diarah lengkapkan semula kertas siasatan pembunuhan Yap Xin Yuan

Umavathi Ramayah
Januari 10, 2025 16:53 MYT
Naazron berkata, pihak polis sedang memperkemaskan kertas siasatan itu dan akan akan merujuk semula untuk arahan lanjut. - Gambar fail
KAJANG: Polis mendapat arahan daripada Pejabat Pendakwa Raya untuk melengkapkan semula kertas siasatan berhubung kes pembunuhan seorang remaja berusia 15 tahun, Yap Xin Yuan yang mayatnya ditemukan dalam keadaan tidak sempurna di Rancangan Tanah Baharu (RTB) Sungai Changgang, Banting pada 28 Disember lalu.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya sedang memperkemaskan kertas siasatan itu dan akan akan merujuk semula untuk arahan lanjut.
Sehubungan itu katanya, teman lelaki mangsa berusia 17 tahun dan abangnya berusia 21 tahun dibebaskan dengan bon di bawah Seksyen 49 Kanun Prosedur Jenayah di mana kedua-dua suspek perlu hadir di mahkamah.
"Sementara itu, bapa mereka yang berusia 52 tahun dibebaskan sebagai saksi pendakwaan," katanya dalam kenyataan di sini, pada Jumaat.
Menurut Naazron, lanjutan reman ke atas tiga beranak itu berakhir pada Jumaat.
Sebelum ini, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan memberitahu, perselisihan faham dan pengambilan dadah berlebihan adalah antara motif yang disiasat polis ketika ini dalam menyiasat kes pembunuhan Xin Yuan.
Kehilangan mangsa sejak 19 Disember lalu terbongkar apabila mayatnya ditemukan dalam keadaan reput di perangkap sampah Kampung RTB Sungai Changgang, Banting, Selangor pada 28 Disember lalu, iaitu lapan hari selepas laporan kehilangannya dibuat pada 20 Disember lalu di Kajang.
Remaja itu hilang selepas menghadiri latihan tarian singa di gelanggang bola keranjang Batu 11, Cheras, 19 Disember lalu dengan polis menerima laporan kehilangan dibuat oleh keluarga mangsa pada jam 2.15 pagi, sehari selepas kejadian.
#Yap Xin Yuan #mayat reput #Polis Diraja Malaysia #Seksyen 302 Kanun Keseksaan #terkini
;