PDRM dedah nama enam anggota polis yang terkorban
T K Letchumy Tamboo
Mac 4, 2013 11:13 MYT
Mac 4, 2013 11:13 MYT
Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mendedahkan nama enam anggota polis yang terkorban dalam kejadian serang hendap di Kampung Sri Jaya, Simunul, Semporna, Sabah pada malam Sabtu.
PDRM, dalam laman Facebook rasminya, menyatakan enam orang itu adalah Supt Ibrahim Lebar dari cawangan khas Bukit Aman, ASP Micheal Padel dari cawangan khas IPD Semporna, Sarjan Baharin Hami dari cawangan khas IPK Sabah, Sarjan Aziz Sarikun dari BN 14 PGA Tawau, Koperal Salam Togiran dari IPD Tawau dan Lans Koperal Mohd Azrul Tukiran dari BN 14 PGA Tawau.
Anggota-anggota polis tersebut telah ditugaskan untuk menjalankan siasatan di kampung berkenaan berikutan maklumat polis mengenai sekumpulan lelaki bersenjata di kampung itu.
Mereka ditembak semasa menuju ke sebuah premis di kampung berkenaan dan telah membalas tembakan untuk mempertahankan diri.
Polis masih sedang menyiasat sama ada kumpulan bersenjata itu mempunyai kaitan dengan lebih 150 orang kumpulan penceroboh bersenjata di Kampung Tanduo, Lahad Datu, yang terletak kira-kira 150 kilometer dari Semporna.