PDRM capai tahap siapsiagaan tertinggi untuk hadapi PRU
Bernama
November 9, 2017 08:01 MYT
November 9, 2017 08:01 MYT
Polis Diraja Malaysia (PDRM) berada pada tahap kesiapsiagaan tinggi atau hijau bagi menghadapi pilihan raya umum ke-14 (PRU14) , kata pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Zulkifli Abdullah.
Beliau berkata keseluruhannya persiapan merangkumi sumber manusia, latihan dan logistik adalah mencukupi manakala latihan dirancang dilaksanakan dalam lima fasa bagi meningkatkan keupayaan pasukan itu menghadapi situasi berbeza sebelum dan selepas PRU.
"Latihan ini juga membolehkan PDRM menilai dan melihat kekurangannya untuk menambahbaik persiapan PRU supaya lebih lancar dan rakyat pula dapat menjalankan aktiviti harian dengan aman," katanya pada sidang media selepas mendengar taklimat persediaan PRU oleh Ketua Polis Perlis Datuk Azisman Alias di Bilik Gerakan polis negeri di sini, pada Rabu.
Taklimat persediaan PRU itu turut dibuat secara live (video conference) menghubungkan semua ketua-ketua polis negeri.
Zulkifli berkata PDRM akan membuat perolehan segera keperluan untuk menghadapi PRU melalui Bajet 2018 yang dibentangkan pada 27 Oktober lepas.
Katanya dalam fasa pertama latihan bertumpu sehingga pembubaran Parlimen manakala fasa kedua pada hari penamaan calon, fasa ketiga dalam tempoh berkempen, fasa keempat pada hari mengundi dan fasa kelima pasca pilihan raya.
Situasi dalam kelima-lima fasa ini berbeza dan bermacam kemungkinan boleh berlaku. Jadi kita kena bersedia. Latihan yang dijalankan akan dapat meningkatkan keyakinan pegawai dan dan anggota untuk mengambil tindakan sewajarnya mengikut situasi, katanya.
Zulkifli berkata latihan fasa pertama bermula serentak di seluruh negara mulai pukul 9 pagi esok dan berakhir pada 9 pagi 11 November ini.
"Saya harap orang ramai tidak terkejut atau panik melihat pergerakan kenderaan-kenderaan polis walaupun antaranya mungkin kejadian sebenar (bukan latihan) kerana pusat kawalan akan dibuka di semua peringkat iaitu daerah, negeri dan Bukit Aman.
Mengenai Perlis, Zulkifli berkata negeri ini tiada masalah besar dari aspek peralatan dan sumber manusia namun Bukit Aman bersedia menghantar tenaga tambahan jika keadaan memerlukan.
Dalam perkembangan lain, Azisman berkata pembinaan kompleks Ibu pejabat Kontinjen Perlis yang baharu di sini dijangka siap pada April tahun hadapan.
-- BERNAMA
#Bukit Aman
#keselamatan
#PDRM
#pilihan raya
#pilihan raya umum
#polis
#Polis Diraja Malaysia
#PRU
#PRU14
#Zulkifli Abdullah