PDRM berkas lima individu disyaki terbabit kumpulan pengganas

Astro Awani
Oktober 31, 2018 10:03 MYT
Dua daripada yang ditangkap terdiri daripada dua warga tempatan, manakala tiga lagi merupakan warga Mesir, Pakistan dan negara Asia Barat yang tidak dinamakan. - Gambar hiasan
Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya memberkas lima suspek yang disyaki kumpulan pengganas dalam satu operasi yang dijalankan dari 13 hingga 26 Oktober lalu.
Dua daripada mereka terdiri daripada dua warga tempatan, manakala tiga lagi merupakan warga Mesir, Pakistan dan negara Asia Barat yang tidak dinamakan.
Dua warga tempatan yang terbabit merupakan seorang wanita berusia 32 tahun yang ditahan di Gombak Kuala Lumpur, manakala seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun ditahan di Kota Kinabalu, Sabah.
Kedua-dua mereka disyaki terlibat dalam penyaluran dana kepada Muhammad Wanndy Mohamed Jedi, rakyat Malaysia yang menyertai kumpulan Daish bagi membiayai aktiviti keganasan.
Empat daripada suspek ditahan mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Akta 747) manakala seorang lagi ditahan di bawah Akta Imigresen 1959/1963.
#Asia #daish #Imigresen #keganasan #keselamatan #Kota Kinabalu #Kuala Lumpur #Mesir #Pakistan #PDRM #pengganas #polis #Polis Diraja Malaysia #suspek #wanita