PUTRAJAYA: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan pihak berkuasa Norway telah berkongsi maklumat berhubung penahanan seorang pelajar rakyat Malaysia yang didakwa terlibat dalam aktiviti pengintipan di negara itu.

Jelas Saifuddin, ketika ini segala maklumat yang diterima akan diteliti bagi membantu dalam kes terbabit.

"Saya telah diberi taklimat oleh Ketua Polis Negara (KPN) tengah hari semalam (Rabu) berkenaan latar belakang kes itu, tapi kami masih lagi menunggu maklumat lengkap.

"Maksudnya pasukan keselamatan Norway telah memberitahu pasukan keselamatan, memaklumkan pasukan keselamatan kita status individu berkenaan, latar belakang dan segala bukti-bukti yang mereka pilih untuk berkongsi dengan kita," katanya.

Tambah Saifuddin lagi, PDRM akan memberikan kerjasama dalam membantu pasukan keselamatan negara itu dalam siasatan yang dijalankan.

"Bahagian kita adalah untuk mengesahkannya, pertama tentu kena ada pengesahan warganegara.

"Kami telah terima pemakluman, PDRM sedang jalankan penelitian... tentu kita akan gunakan seluruh instrumen sesuai dengan hubungan kedua-dua negara ini.

"Ia sensitif dari sudut amalan pengintipan, polis masih lagi meneliti," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Majlis Sambutan Hari Antipemerdagangan Orang Sedunia 2023 di Putrajaya pada Khamis.

Hadir sama, Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar dan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah.