PDRM akan rujuk penjenayah warga asing kepada Imigresen untuk diisytihar persona non grata
Bernama
Disember 14, 2020 07:25 MYT
Disember 14, 2020 07:25 MYT
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan merujuk penjenayah warga asing yang disabitkan kesalahan di mahkamah terutamanya ketua-ketua sindiket penipuan dan maksiat kepada Jabatan Imigresen Malaysia untuk diisytiharkan sebagai persona non grata, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador.
PDRM senada dengan Jabatan Imigresen dalam hal ini bagi mengekang kegiatan jenayah di dalam negara ini yang didalangi oleh warga asing.
“Dengan harapan mereka tidak boleh masuk (Malaysia) lagi. Seumur hidup (mereka) tidak boleh masuk ke dalam negara ini," katanya dalam sidang media sempena Majlis Menandatangani Prosedur Tetap Operasi (PTO) Op Benteng di Wisma Perwira Angkatan Tentera Malaysia (ATM), di sini semalam.
Dalam perkembangan sama, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Imigresen Mohamad Fauzi Md Isa berkata apabila seseorang warga asing sudah diisytihar persona non grata maka dia dilarang memasuki Malaysia seumur hidup.
"Bila dia tidak dibenarkan masuk, dia tidak dapat kemudahan imigresen yang diberikan kepada setiap warga asing itu misalnya mohon visa atau memohon permit kerja, ia tidak dibenarkan. Hendak masuk pun tak boleh," katanya.
Mengulas sama ada pendatang yang memasuki negara ini secara haram boleh dikenakan tindakan sama, beliau berkata warga asing yang memasuki negara ini secara tidak sah adalah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/1963 dan akan disenarai hitamkan.
"Jadi, kesalahan menceroboh itu boleh dikenakan persona non grata dan pengisytiharan itu telah lama dilaksanakan sejak penguatkuasaan akta (melibatkan pengisytiharaan itu)," katanya.
Pada Ahad, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud dilaporkan berkata warga asing yang didapati terlibat dan disabitkan dengan kesalahan membabitkan kegiatan jenayah akan diisytiharkan sebagai persona non grata.
Keputusan itu terpakai untuk semua warga asing yang melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen tanpa mengira jenis pas yang dimiliki.
Persona non grata adalah orang yang tidak dapat diterima oleh sesebuah negara selama-lamanya setelah didapati bersalah melakukan kesalahan (jenayah) yang tidak dapat dimaafkan (berat) semasa dia berada di sesebuah negara.
-- BERNAMA
#persona non grata
#Imigresen
#warga asing
#sindiket
#jenayah
#scammer
#Abdul Hamid Bador
#Mohamad Fauzi Md Isa
#dilarang memasuki Malaysia
#permit
#permit kerja
#penipuan
#Maksiat
#polis
#Visa