KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi penguat kuasa agama perlu bertindak pantas dan tegas dalam mengenal pasti sebarang kegiatan 'penunggang agama' atau organisasi yang mencemarkan kesucian Islam di negara ini.

Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Perlis Dr Zuraimy Ali berkata ini penting bagi memastikan gerakan subversif yang boleh memberikan ancaman terhadap akidah umat Islam di negara ini tidak berkembang seperti 'cendawan tumbuh selepas hujan' hanya disebabkan tiada tindakan undang-undang diambil terhadap mereka.

Selain itu, bahagian risikan kedua-dua agensi berkenaan juga perlu digerakkan dengan pantas agar lebih ramai umat Islam dapat diselamatkan daripada terjebak elemen-elemen songsang yang bertentangan dengan Islam serta pengaruh pimpinan yang menggunakan agama demi kepentingan tertentu.

"Segala kebejatan yang terkait penyelewengan agama perlu diatasi segera melalui penguatkuasaan yang tegas agar tiada mana-mana pihak cuba mengambil kesempatan terhadap Islam dan cuba meracuni pemikiran dengan dakyah sonsang.

"Jika ditelusuri sebelum ini, begitu banyak ajaran sesat telah dikeluarkan senarai oleh pihak berkuasa agama sama ada melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) atau Jabatan Agama Islam Negeri namun masih ada lagi gerakan ajaran sesat berleluasa, sama ada bergerak secara sulit di media sosial atau beroperasi secara haram sehingga gagal dihidu pihak berkuasa agama," katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas serbuan polis dalam Ops Global terhadap 20 rumah amal di Selangor dan Negeri Sembilan baru-baru ini yang menyaksikan seramai 171 individu ditahan kerana didakwa mengeksploitasikan kanak-kanak dan agama.

Dalam serbuan itu, polis turut menyelamatkan 402 kanak-kanak dengan saringan kesihatan kemudiannya mendapati 13 daripada mereka disyaki diliwat.

Senada dengan Zuraimy, Timbalan Pengerusi Jabatan Pemahaman dan Pemantapan Agama (JaPPA) Parti Keadilan Rakyat Zawawi Mughni turut menggesa JAKIM agar lebih proaktif dalam memantau perkembangan ideologi sesat dan melampau di negara ini.

Beliau berkata umat Islam juga harus berhati-hati dalam menilai sesuatu pemikiran agar tidak terperangkap dengan fahaman yang sempit sehingga dipergunakan pihak tertentu untuk kepentingan mereka.

"Sekiranya indoktrinasi berterusan atas nama agama ini dilakukan pastinya ia akan membentuk pemikiran yang jumud iaitu tertutup dan beku.

"Seseorang itu akan menerima apa sahaja yang disogokkan dalam minda mereka dan tidak dibenarkan menerima pendapat orang lain selain akan menolak nasihat dan fikrah yang berbeza daripada fahaman mereka," katanya.

-- BERNAMA