PdPR: Wujudkan jawatankuasa khas selesaikan kekurangan peranti, internet

Rahimah Abdullah
Januari 23, 2021 16:21 MYT
Bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Datuk Alimuddin Mohd Dom berkata, jawatankuasa itu perlu disertai beberapa kementerian, agensi kerajaan, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan pihak persendirian.
KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran mewujudkan satu jawatankuasa khas bagi menyelesaikan masalah alat peranti dan capaian internet dihadapi pelajar untuk meneruskan proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
Bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Datuk Alimuddin Mohd Dom berkata, jawatankuasa itu perlu disertai beberapa kementerian, agensi kerajaan, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan pihak persendirian.
"Saya mencadangkan elok diwujudkan satu task force yang terdiri dari beberapa buah kementerian, agensi kerajaan, NGO, swasta, PIBGN dan individu tertentu untuk memikirkan dan mengambil tindakan sesuai dan saya kira ini akan meringankan beban KPM (Kementerian Pendidikan Malaysia) dalam mengatasi masalah ini," katanya kepada Astro AWANI menerusi termu bual di Skype pada Sabtu.
BACA: Isu capaian Internet, peranti masih membelenggu pelaksanaan PdPR - NUTP
BACA: RTM sedia saluran pendidikan bantu proses PdPR - Saifuddin
Ujarnya, semua pihak perlu memainkan peranan dalam isu kekurangan kemudahan peranti dan internet di kalangan pelajar dan tidak hanya meletakkan masalah berkenaan di atas bahu KPM semata-mata.
"Saya juga terlibat dengan sebuah NGO iaitu Persatuan Keprihatinan Pendidikan Malaysia (Prididik) dan sebagai penasihatnya dan kami bersama-sama dengan sebuah syarikat IT cuba mengumpulkan komputer lama dan perbaikinya.
"Kemudian, selepas membaikinya kita akan serahkan kepada KPM. Jadi semua perlu terlibat dalam hal ini,"ujarnya lagi.
Pada masa sama, katanya, sudah sampai masanya radio dan TV pendidikan diaktifkan semua kerana ia menjadi pilihan kepada pelajar jika berlaku kekurangan alat peranti dan internet.
"Walaupun ketika ini, ramai pelajar dan ibu bapa menghadapi kesukaran dengan PdPR, namun beliau yakin ia akan dapat diatasi serta setiap orang akan mula membiasakan diri dengan norma baharu berkenaan," tambahnya.
#PdPR #pengajaran dan pembelajaran #Kementerian Pendidikan #jawatankuasa #pelajar #Astro Awani #NGO #Alimuddin Mohd Dom #jawatankuasa khas #Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah #KPM
;