'PdPR satu-satunya pilihan yang ada'
Madiha Abdullah
Januari 17, 2021 16:30 MYT
Januari 17, 2021 16:30 MYT
KUALA LUMPUR: Biarpun keputusan menangguhkan sesi persekolahan secara bersemuka dibuat agak tergesa-gesa, namun ia dilihat satu keputusan tepat dan terbaik dalam situasi semasa.
Presiden Majlis Permufakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr. Mohamad Ali Hasan berkata, pengajaran dan pembelajaran di rumah atau istilahnya PdPR, merupakan satu-satunya pilihan yang ada buat guru, murid dan ibu bapa.
"Walaupun agak tergesa-gesa, tetapi kami menyambut baik keputusan tersebut. Cuma adalah lebih baik kalau keputusan ini dibuat lebih awal, iaitu sebaik sahaja Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan tentang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 11 Januari lalu.
"Ini kerana, jika lebih awal, kita dapat kurangkan pergerakan keluar rumah untuk membuat persiapan persekolahan, sekali gus menyumbang kepada memutuskan rantaian COVID-19," katanya ketika ditemubual dalam Buletin AWANI pada Ahad.
Berkenaan persiapan guru-guru, beliau berpendapat, apa sahaja masalah yang timbul merupakan satu bentuk cabaran yang perlu diatasi kerana PdPR adalah proses yang kini dilalui bukan sahaja di Malaysia, bahkan negara lain juga.
"Kita tak ada pilihan. Untuk hadir ke sekolah seperti biasa, risikonya sangat tinggi. Jadi mahu tidak mahu, inilah sahaja cara yang ada.
"Guru-guru perlu bersedia untuk melaksanakan pengajaran dan pembelajaran dalam norma baharu dan saya percaya mereka pastinya akan beri yang terbaik, sesuai dengan keupayaan pelajar," ujarnya.
Dr. Mohamad Ali juga menasihatkan pelajar dan guru yang perlu hadir ke sekolah untuk peperiksaan agar tidak panik dan mengikut semua arahan yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Pendidikan (KPM).
"Tentang swab test, eloklah kita ikut sahaja arahan daripada KKM, iaitu hanya mereka yang bergejala dan kontak rapat sahaja perlu melakukannya.
"Untuk yang lain, nasihat saya, fokus pada pembelajaran dan persediaan untuk menduduki peperiksaan," katanya.
Semalam, KPM memutuskan sesi persekolahan secara bersemuka yang bermula 20 Januari ini hanya melibatkan calon peperiksaan utama seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Sijil Vokasional Malaysia, Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) Diploma Vokasional Malaysia (DVM) dan peperiksaan antarabangsa setara.
#pembelajaran atas talian
#pengajaran dan pembelajaran
#COVID-19
#Kementerian Pendidikan
#Kementerian Kesihatan
#KKM
#calon
#peperiksaan
#pendidikan
#pelajar
#guru
#PdPR