PdPR: Remaja lumpuh gigih teruskan pembelajaran walau berdepan kekangan
Zulhafiiz Brahim
Februari 3, 2021 07:31 MYT
Februari 3, 2021 07:31 MYT
LAHAD DATU: Ketika ramai pelajar dan ibu bapa mengeluh dengan berbagai kekurangan menjalani pembelajaran dalam talian di rumah, namun seorang pelajar kurang upaya di Sabah tidak melihat itu sebagai satu kekangan untuknya meneruskan pembelajaran.
Muhammad Shafiq Taufik,13, pelajar tingkatan satu Pendidikan Khas di SMK Terusan gigih belajar walaupun kawasan rumahnya di Kampung Bakawali dekat sini tidak mempunyai jaringan internet yang pantas.
Malah Muhammad Shafiq juga tidak memiliki peranti tablet atau komputer riba, sebaliknya hanya menggunakan telefon bimbit ibunya.
Shafiq lumpuh kedua-dua kaki sejak berusia 1 tahun selepas menjalani pembedahan tulang belakang dan kini bergerak menggunakan kudrat kedua tangannya dibantu kerusi roda.
"Saya tidak akan putus asa untuk berjuang. Saya akan buat yang terbaik dalam kehidupan ini.
"Saya belajar setiap hari dari rumah... belajar Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik," katanya.
Shafiq yang sebelum ini bersekolah di SK Pekan Satu Lahad Datu dalam Kelas Pendidikan khas berhasrat membuka perniagaannya sendiri.
"Cita-cita saya nak buka bisnes sendiri sebab saya suka menjual jadi untuk dapatkan duit untuk masa depan saya dan keluarga,"ujarnya.
Shafiq adalah anak kedua dalam keluarga dan mempunyai kakak yang kini bersekolah tingkatan lima.
"Buat masa ini saya pakai telefon mak sahaja, ada group WhatsApp sekolah, jadi buka dari situ dan ambil tugasan harian dan hantar kepada cikgu bertugas."
Ibu kepada Muhammad Shafiq, Juriah Mekdam berkata anaknya cuma lumpuh kaki, namun normal dari segi perkembangan otak.
Menurutnye, semangat ditonjolkan Muhammad Shafiq membuatkan dia tekun memberi dorongan kepada anaknya itu agar tidak putus asa.
"Shafiq belajar secara dalam talian setiap hari mengikut jadual yang telah diberikan, dia guna telefon bimbit saya.
"Alhamdulillah, semua tugasannya diselesaikan juga... tidak ada masalah serius setakat ini," kata Juriah.
Menurut Juriah lagi, dia dan suami tidak pernah putus asa walaupun hidup dalam serba kekurangan, mereka terus menerus membakar semangat Shafiq untuk belajar bersungguh-sungguh tanpa terlalu memikirkan ketiadaan komputer dan kemudahan internet yang pantas.
Juriah juga sentiasa bersyukur bersama suami dan anak tidak sesekali meminta bantuan dan jauh sekali untuk mengeluh dengan ujian yang diberikan.
#pelajar Pendidikan Khas
#Muhammad Shafiq Taufik
#Kampung Bakawali
#SMK Terusan
#Lahad Datu
#pembedahan tulang belakang