PdPR: Pelajar di kawasan setinggan alami kesukaran
Radhi Muslim
Mei 21, 2021 11:46 MYT
Mei 21, 2021 11:46 MYT
SANDAKAN: Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR) disifatkan dapat membantu pelajar menguasai penggunaan gajet dan mendalami teknologi dengan lebih efisyen.
Namun, bagi pelajar yang tinggal di kawasan setinggan dalam keadaan yang tidak kondusif, ia menyukarkan lagi proses tersebut.
Antara yang mengalami kekangan itu adalah pelajar tahun lima yang tinggal di setinggan Kampung Seng Kee Darat di Sandakan.
Bagi Muhd Zarul Muhd Amin, PdPR juga menyukarkannya untuk belajar dengan selesa apabila terpaksa hanya duduk atau baring di lantai rumah sahaja.
Malah apa yang lebih menyukarkan buat dia dan keluarga adalah apabila kekurangan wang untuk membeli data internet.
"Susah untuk faham kalau belajar melalui PdPR. Kalau di kelas senang. Mahu lebih suka belajar di sekolah.
"Di rumah tiada meja dan kerusi jadi segalanya perlu dibuat di lantai.
"Kadang-kadang tiada data internet kerana tidak mampu membeli data," katanya.
Pada masa sama, bapanya turut akui sejak beberapa hari lalu Zarul tidak dapat mengikuti PdPR kerana kekangan kewangan.
"Pembelajaran dalam talian ini memerlukan wang. Jika kehabisan wang, terpaksa ditunda dari minggu ke minggu.
"Jadi memang ada perbezaan pembelajaran dalam talian dan di sekolah," katanya.
Kekangan sama dihadapi seorang seorang lagi pelajar Tingkatan Satu yang tinggal di penempatan setinggan sama.
Kadang kala, sukar beri tumpuan kerana kawasan tempat tinggal mereka terlalu bising.
Justeru itu, mereka berharap agar pandemik COVID-19 segera berakhir dan sesi pembelajaran dapat berjalan seperti biasa.