PdPR: Pantau peniaga tamak sorok peranti untuk kaut untung

Najib Aroff
Januari 24, 2021 13:56 MYT
Harga peranti yang meningkat juga adalah susulan masalah kekurangan komponen akibat perintah kawalan pergerakan di kebanyakan negara pengeluar.- Foto fail
KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta agensi berkaitan harus bekerjasama memantau aktiviti jualan peranti seperti komputer riba supaya harga tidak dinaikkan sewenang-wenangnya.
Menurut Presiden Dewan Perniagaan Digital Malaysia Chris Daniel Wong, malah kementerian berkaitan juga harus berhubung dengan pengeluar peranti gergasi untuk memastikan bekalan di pasaran mencukupi.
"Saya syorkan Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Kementerian Pendidikan bekerjasama dengan syarikat pengeluar peranti, pemborong peranti, persatuan pengguna dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) untuk menyelaraskan permintaan dan kehendak.
"Konsensus nasional perlu wujud supaya kita boleh anggarkan berapa banyak peranti yang diperlukan setiap negeri supaya tidak berlaku kekurangan bekalan," katanya ketika ditemu bual Astro AWANI.
Chris berkata jika KPDNHEP boleh memantau bekalan makanan di pasaran, maka langkah sama boleh diambil untuk memastikan bekalan peranti mencukupi.
PdRP: Harga peranti naik?
"KPDNHEP perlu berhubung dengan pengeluar gergasi supaya mereka beri satu jaminan tiada kekurangan barangan itu.
"Atau mungkin ada pemborong secara langsung menyembunyikan produk supaya dapat kaut keuntungan. Harus ada inisiatif supaya harga tidak naik," katanya.
Kenaikan harga peranti seperti komputer riba mula disuarakan ibu bapa yang kini terpaksa mencari kekelengkapan itu bagi memenuhi keperluan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
Chris pada masa sama berkata harga peranti yang meningkat juga adalah susulan masalah kekurangan komponen akibat perintah kawalan pergerakan di kebanyakan negara pengeluar.
"Dalam keadaan pandemik COVID-19, ada kekurangan komponen. Banyak komponen dibuat di China dan dihantar ke Jepun serta Korea untuk pemasangan siap barangan elektronik.
"Kita tahu banyak barangan komponen elektronik dihasilkan di Pulau Pinang dan Selangor yang juga menghadapi kekurangan tenaga kerja," tambahnya.
Selain itu Chris berkata peningkatan kos logistik disebabkan tidak banyak pesawat dan kapal laut beroperasi turut menyumbang kepada peningkatan harga selain peningkatan tarif yang dilaksanakan oleh Amerika Syarikat.
BACA: PdPR: Bapa kelam kabut, enam anak terpaksa kongsi satu komputer riba
PdPR | Ada peniaga sorok peranti elektronik untuk kaut untung
#perintah kawalan pergerakan #COVID-19 #PdPR #KPDNHEP #MCMC #laptop #PKP #Peranti Elektronik
;