PdPR: Panjat bukit setinggi 150 meter, 5 kali seminggu demi ikuti sesi pembelajaran
Syah Hairizal Kamalul Arifin
Februari 4, 2021 17:20 MYT
Februari 4, 2021 17:20 MYT
RANAU: Demi mengecap kejayaan dalam pendidikan, sekumpulan ibu bapa dan murid di Sabah khususnya di Kampung Waluhu, di sini sanggup memanjat bukit setinggi 150 meter untuk mendapatkan akses internet bagi mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
Masa yang diambil untuk tiba ke lokasi yang mempunyai capaian internet tersebut memakan masa lebih dari 30 minit sekiranya hujan.
Bagi mereka, ia seakan menjadi satu kebiasaan kerana perkara tersebut telah dilakukan mereka sejak bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac tahun lalu.
Menurut Rosnah Londo, 47, untuk mendapatkan talian internet mahupun talian telekomunikasi, penduduk kampung terpaksa memanjat bukit dan ia telah berlarutan sejak sekian lama.
Berbanding sebelumnya, sesi PdPR telah membuatkan keluarga dengan isi rumah yang masih bersekolah untuk memanjat bukit lima kali seminggu.
"Ia memang sukar sebab anak-anak diberi tugasan dan mereka perlu menghantar tugasan mereka setiap hari.
"Itu menyebabkan kami terpaksa membawa anak-anak kami ke atas bukit ini untuk membuat kerja sekolah dan menghantar kerja tersebut kerana ada guru-guru yang memberikan tempoh masa untuk dihantar.
"Terdapat lebih dari 30 murid termasuk pelajar sekolah menengah membuat kerja sekolah mereka di atas bukit ini," katanya yang ditemui ketika menemani anaknya di atas sebuah bukit berhampiran Kampung Waluhu, Ranau pada Khamis.
Jelasnya, sebagai suri rumah beliau tetap perlu menjalankan tanggungjawab di rumah dan ia sedikit sebanyak telah memberikan tekanan pada dirinya.
"Ayah mereka berkerja di ladang dan saya perlu mengurus rumah tangga.
"Memang saya tertekan disebabkan saya terpaksa mengurus rumah terlebih dahulu pada awal pagi dan berlari menaiki bukit kerana mengejar masa yang diberikan guru," keluhnya.
Sementara itu menurut anaknya Mohd Azfarddin Fedelis, 13, ini merupakan tahun kedua dia melalui proses PdPR dan menyifatkan ia sebagai satu tugas yang sukar kerana perlu mendaki bukit.
Namun, bagi pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Lohan, Ranau ini, semangat yang ditunjukkan ibunya yang menemaninya membuatkan dia turut bersemangat.
"Kesukarannya memang ada terutama apabila mahu menghantar kerja rumah.
"Kami terpaksa turun naik dan melalui banyak halangan antaranya laluan bukit yang licin.
"Ada masanya saya terpaksa berlari menghantar kerja rumah sebab masa yang diperuntukkan hanya satu jam dan ada masa yang saya tidak sempat menghantar kerja tersebut sebab hujan," katanya lagi.
Bagi murid tahun enam di Sekolah Kebangsaan Narawang, Ranau, Priscirra Alex, 12, dia dan rakan-rakan lain perlu meluangkan masa berada di atas bukit tersebut sehingga selesai sesi dalam talian bersama guru selama hampir lima jam.
Dia menjelaskan bahawa guru-gurunya sedia maklum berkenaan kekangan yang dihadapinya dan rakan-rakan serta memberikan kelonggaran sekiranya tugasan diberi tidak dapat dihantar secara dalam talian pada waktu yang ditetapkan.
"Saya akan naik ke sini pukul 7 pagi dan kelas akan bermula sekitar 7.30 pagi.
"Kami terpaksa berada di sini sehingga pukul 12.00 tengahari sebab di bawah tiada talian internet.
"Guru-guru semua faham dengan situasi kami di Kampung Waluhu ini.
"Biarpun sukar, saya tetap berusaha menghantar tugasan mengikut waktu yang ditetapkan sebab saya mahu belajar dan demi masa depan saya," katanya.
Kesemua mereka ditemui dalam lawatan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Yaakub Khan di kampung terbabit.
Pada lawatan tersebut, Yaakub telah menyerahkan talian satelit yang dikenali sebagai V-Sat untuk kemudahan Internet penduduk kampung.
Dengan adanya peralatan tersebut, murid dan pelajar tidak lagi perlu ke kawasan tinggi untuk mendapatkan perkhidmatan jalur lebar.
#Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah
#PdPR
#panjat bukit
#Kampung Waluhu
#Sabah
#Internet
#perintah kawalan pergerakan
#PKP
#Rosnah Londo
#Ranau
#Sekolah Kebangsaan Narawang
#Priscirra Alex
#Yaakub Khan
#V-Sat
#Mohd Azfarddin Fedelis