PdPR: Kerajaan Sabah pertimbang beri gajet kepada murid kurang mampu

Eleanor Michelle Patrick
Januari 26, 2021 16:22 MYT
Hajiji (dua dari kiri) melihat pelan baik pulih jalan rosak ketika melawat keadaan jalan runtuh di KM44.7 Jalan Penampang-Tambunan di sini. - Pejabat Ketua Menteri Sabah.
PENAMPANG: Kerajaan Sabah sedang mempertimbangkan untuk memberi peranti elektronik atau gajet kepada murid dari keluarga kurang berkemampuan di negeri itu.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, langkah itu bagi memudahkan mereka yang terkesan mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
Jelas beliau, kerajaan negeri amat memahami kekangan serta cabaran dihadapi ibu bapa di negeri ini dalam menyediakan keperluan itu demi memastikan keselesaan pembelajaran anak-anak.
"Kami faham ramai pelajar kurang berkemampuan di Sabah menghadapi masalah ini," katanya ketika diminta mengulas mengenai langkah kerajaan negeri untuk menangani masalah pemilikan peranti elektronik dalam kalangan murid di Sabah.
Terdahulu, beliau meninjau keadaan jalan runtuh di KM44.7 Jalan Penampang-Tambunan di sini, pada Selasa.
Mengulas liputan internet di Sabah, Hajiji berkata Kerajaan Persekutuan komited untuk meningkatkan keupayaan jalur lebar di negeri ini menerusi Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) bernilai RM2.5 bilion.
Menerusi inisiatif itu, katanya, terdapat lebih 400 menara baharu akan dibina dan kira-kira 2,000 pemancar sedia ada akan dinaik taraf kepada 4G dalam tempoh dua tahun.
Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan akan berlaku sedikit kelewatan dalam melaksanakan pembangunan JENDELA susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"Selain daripada bantuan, sebenarnya mulai tahun ini, Kerajaan Persekutuan melalui JENDELA ini, akan melaksanakan penambahbaikan jalur lebar bagi meningkatkan digital komunikasi di seluruh Sabah," katanya.
Sementara itu, Hajiji mendedahkan kerja membaik pulih kerosakan infrastruktur akibat hujan dan tanah runtuh di Sabah menelan belanja kira-kira RM285 juta.
Malah, katanya kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan segera membabitkan kira-kira RM150 juta yang diperlukan bagi membaik pulih 41 jalan rosak berikutan hujan berterusan melanda Sabah dua minggu lalu.
#PdPR #Sabah beri gajet #murid kurang mampu #Kerajaan Sabah #Hajiji Noor #pengajaran dan pembelajaran #perintah kawalan pergerakan #tanah runtuh #PKP #pelajar
;