PdPR: JAKOA rangka perancangan pastikan murid Orang Asli tidak tercicir

Astro Awani
Januari 27, 2021 13:37 MYT
JAKOA sedang merangka perancangan bagi memastikan murid-murid Orang Asli tidak keciciran dalam Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) sedang merangka perancangan bagi memastikan murid-murid Orang Asli tidak keciciran dalam Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
Selain itu, Ketua Pengarahnya, Prof Dr Juli Edo berkata, pihaknya juga sedang menyusun rancangan jangka panjang dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan terlibat bagi memastikan anak-anak Orang Asli mendapat pendidikan yang sempurna mengikut budaya norma baharu.
"JAKOA juga akan memberi sokongan dan bantuan kepada pihak sekolah yang mempunyai inisiatif sendiri untuk memastikan murid-murid Orang Asli dapat mengikuti proses pembelajaran sama ada dalam bentuk material, logistik dan kakitangan jabatan jika diperlukan," katanya dalam satu kenyataan, di sini pada Rabu.
BACA: PdPR dalam talian: Ibu bapa Orang Asli bimbang anak keciciran
Beliau berkata demikian mengulas laporan Astro AWANI berhubung kebimbangan masyarakat Orang Asli di Tanah Tinggi Lojing, Gua Musang terhadap PdPR susulan masalah liputan internet yang lemah dan ketiadaan peranti.
Laporan tersebut turut menyatakan kekurangan pengetahuan dalam kalangan ibu bapa terhadap aktiviti maya juga menjadi penyumbang kepada keciciran pelajar dan murid Orang Asli.
Sehubungan itu, Juli berkata JAKOA menzahirkan ucapan terima kasih kepada Kementerian Pendidikan (KPM), agensi kerajaan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang perihatin dengan masyarakat berkenaan.
Difahamkan, JAKOA akan mengadakan satu perbincangan dengan kementerian berkaitan pada Selasa ini (2 Februari) bagi memperincikan langkah tersebut.
#Astro Awani #Gua Musang #JAKOA #Orang Asli #PdPR #Prof Dr Juli Edo #Internet #perkampungan Orang Asli
;