PdPR: Guru pedalaman rela harung kepayahan demi kejayaan murid
Syah Hairizal Kamalul Arifin
Mei 20, 2021 13:17 MYT
Mei 20, 2021 13:17 MYT
KENINGAU: Bagi golongan akademik, khususnya yang bergelar guru di pedalaman, soal getir perit laluan yang perlu ditempuh dalam mencurah ilmu adalah perkara terakhir difikirkan mereka, terutama dalam tempoh Pengajaran dan Pembelajaran dari Rumah (PdPR).
Bagi guru di Sekolah Kebangsaan Logongon, Pensiangan, Jackson Nicholas, 29, kawasan tempat tinggal murid-muridnya yang jauh ketinggalan dari sudut teknologi, apatah lagi talian internet memaksanya berkorban lebih masa dan wang ringgit demi menyampaikan ilmu.
"Saya fikir selalu pasal keadilan, memberi keadilan kepada murid saya yang jauh sebab apa yang saya lihat murid-murid yang bukan di pedalaman, mereka senang untuk akses internet; mereka ada kemudahan untuk ke kedai buku.
"Murid-murid saya, kedai pun jauh, dan kedai pun tiada di sana. Jadi salah satunya cara untuk mereka dapat sumber untuk belajar adalah daripada guru.
"Cabaran itu masih sama iaitu salah satu darinya kekangan internet untuk berhubung dengan murid apalagi kita jauh dari sekolah, jauh dari tempat kerja.
"Jadi kita hanya punya satu medium untuk bersama pelajar itu melalui internet.
"Tetapi oleh kerana tiada talian internet di sana, jadi kadang-kadang guru-guru terpaksa turun ke sekolah untuk mengambil dan memberikan modul PdPR," katanya dalam tinjauan pelaksanaan PdPR di kawasan pedalaman di Keningau pada Rabu.
Menurut Jackson yang mengajar Bahasa Inggeris, Pendidikan Jasmani dan Kesihatan, Sains dan Muzik itu lagi, penyampaian ilmu tersebut adakalanya diberi reaksi oleh pelajar dalam jangka masa yang panjang hinggakan ada yang memakan masa berminggu-minggu.
Bagi yang bernasib baik mendapat talian internet, tugasan yang diberi akan diperoleh beliau dalam tempoh 24 jam.
"Kadang-kadang tidak sampai 10 orang yang memberi reaksi melalui aplikasi WhatsApp.
"Itupun kita terpaksa tunggu sehingga tengah malam apabila mereka ada talian internet baru mereka boleh berhubung dengan guru untuk menghantar kerja melalui gambar ataupun kalau ada pertanyaan-pertanyaan akan melalui telefon dengan guru.
"Bagi saya semua bergantung kepada status keluarga, ada keluarga yg tidak mempunyai telefon bimbit mereka cuma buat secara 'hands on' melalui modul yg diberikan," katanya.
Jelasnya lagi, bagi memeriksa tugasan yang dihantar secara atas kertas, guru-guru akan mengambil tugasan tersebut di pondok pengawal sekolah.
Namun perjalanan itu, jelasnya, menelan belanja ribuan ringgit kerana mengambil kira rutin mingguan ke SK Logongon.
"Kalau saya sendiri biasanya saya akan turun ke sekolah pada hujung minggu dan tengok keadaan cuaca semasa.
Kadang-kadang kita tengok kalau boleh lalu atau tidak sebab ada sekatan jalan raya di sana di antara Keningau dan Nabawan.
"Jadi saya guna kereta sendiri pergi Nabawan atau balai polis minta kebenaran.
"Selepas itu sampai di Sapulut, perlu melalui jalan 'off road' hingga ke Salong, dan dari sana perlu ambil bot.
"Itupun kalau ada yang ambil dan kita perlu buat janji temu awal.
"Biasanya dari Keningau ke sekolah dalam enam jam, pakai duit poket sendiri untuk minyak sahaja.
"Kadang-kadang RM100 ke RM150, dan tidak termasuk sewa bot sekitar RM350.
"Kadang-kadang kos itu bertambah berikutan kerosakan kereta sebab ada masa cuaca tidak menentukan dan keadaan jalan berbatu bata dan mengakibatkan kerosakan," jelasnya.
Tambah Jackson, peranan ibu bapa di kawasan pedalaman amat penting bagi memastikan maklumat dan tugasan yang diberikan guru sampai kepada murid.
Justeru, katanya, melalui modul PdPR 2.0, terdapat nota bimbingan ibu bapa yang disertakan bagi merealisasikan objektif modul tersebut.
"Kebanyakannya kita tambah baik dengan adanya nota bagi ibu bapa.
"Ibu bapa juga perlu ambil peranan untuk mendidik anak mereka sendiri dan dalam modul PdPR itu disediakan lengkap nota bimbingan ibu bapa supaya mereka boleh bantu.
"Tetapi ada juga inisiatif dari guru-guru yang menziarah rumah murid-murid untuk membantu tugasan yang diberikan," kata Jackson.
#pengajaran dan pembelajaran
#PdPR
#Jackson Nicholas
#Keningau
#Sekolah Kebangsaan Logongon
#Pensiangan
#tiada internet